Siasatan rakaman suara kokpit dijangka ambil masa seminggu

Siasatan rakaman suara kokpit dijangka ambil masa seminggu

Bekas pengerusi CAAM Azharuddin Abdul Rahman berkata rakaman 'dash cam' juga perlu diambil kira susulan pesawat Beechcraft terjunam dalam cuaca baik.

Bekas pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia, Azharuddin Abdul Rahman berkata rakaman suara kokpit amat berguna kepada penyiasat untuk membuat analisis tepat.
PETALING JAYA:
Tempoh siasatan rakaman suara kokpit (CVR) bagi pesawat Beechcraft Model 390 (Premier 1) terhempas di Lebuhraya Guthrie (GCE) berdekatan Bandar Elmina, Shah Alam dijangka mengambil selama seminggu.

Bekas pengerusi Lembaga Penerbangan Awam Malaysia (CAAM), Azharuddin Abdul Rahman berkata, unjuran tempoh itu mengambil kira jika tiada kerosakan dalaman pada kotak hitam pesawat itu.

Beliau berkata, peluang kerosakan terhadap kotak hitam pesawat adalah tipis kerana kotak tersebut dibuat khusus untuk menahan panas, api, dan air.

“Ketika saya aktif dalam siasatan perakaman CVR (rakaman suara kokpit) tragedi MH17 yang mana pesawat tersebut jatuh 33,000 kaki dari paras bumi, jatuh terjunam…kami masih boleh muat turun CVR tersebut, ia sangat jelas,” katanya ketika ditemu bual pada program Jendela Fikir terbitan Bernama Radio.

Azharuddin, yang kini merupakan Ahli Lembaga Pengarah MYAirline, menjelaskan kotak hitam yang mempunyai rakaman suara kokpit dibalut dengan pelbagai jenis bahan agar luaran kotak itu mampu menahan impak kemalangan serta mampu melindungi cip yang berada di dalamnya.

Beliau yang juga bekas ketua pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) itu, berkata rakaman suara kokpit amat berguna kepada penyiasat untuk membuat analisis tepat berdasarkan rakaman tersebut, selain menggunakan rakaman “dash cam” (kamera papan pemuka) yang diserahkan kepada mereka.

“Ketika kejadian, keadaan cuaca baik dan dua minit sebelum pendaratan dikatakan pusat kawasan udara kehilangan perhubungan dengan juruterbang dan mereka mendapati kepulan asap (dari lokasi kejadian) serta bila dipanggil, tiada yang menjawab dari pesawat.

“Dalam beberapa rakaman ‘dash cam’ menampakkan pesawat tersebut terjunam ke arah bumi dan ini memeningkan siasatan, jadi kita perlu melihat segala bukti yang didapati di tempat kejadian itu,” katanya.

Semalam, tragedi pesawat terhempas itu meragut 10 nyawa yang melibatkan enam penumpang dan dua kru pesawat ringan itu, manakala dua lagi merupakan orang awam masing-masing penunggang motosikal dan pemandu kereta yang lalu di tempat kejadian.

Ketika kejadian, pesawat malang itu dalam penerbangan dari Langkawi ke Subang dan telah mendapat pelepasan untuk mendarat pada 2.48 petang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.