
“Beliau merupakan ahli exco yang sangat rajin, progresif dan sentiasa membawa…terutama dalam portfolio beliau dalam exco kerajaan tempatan, perumahan, alam sekitar dan teknologi hijau,” kata Wan Rosdy kepada pemberita di Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang.
Katanya, beliau menganggap Johari sebagai seorang sahabat dan amat sedih atas kehilangannya.
“Kehilangan beliau adalah suatu yang sangat mengejutkan, yang di luar dugaan.
“Dan pagi tadi pun (semalam) kami bermesyuarat di Langkawi, dan beliau ada urusan lain selepas itu, dan tiba tiba saya dapat berita kehilangan,” katanya.
Pesawat Beechcraft Model 390, yang membawa lapan orang termasuk dua anak kapal, terhempas di Lebuhraya Guthrie petang semalam.
Speaker DUN Pahang Sharkar Shamsudin sebelum itu berkata Johari dalam perjalanan pulang dari lawatan rasmi di Langkawi apabila pesawat ringan dinaikinya terhempas.
Pemandu kereta dan penunggang motosikal turut maut selepas dirempuh pesawat yang terhempas itu.