Tingkat capaian internet, guru pedalaman belanja RM2,400 beli satelit Starlink

Tingkat capaian internet, guru pedalaman belanja RM2,400 beli satelit Starlink

Muhammad Izzat Afif Hasim mula menggunakan peranti itu sejak awal bulan yang kelajuan internetnya boleh mencapai sehingga 290 Mbps.

Muhammad Izzat Afif Hasim menerima peranti satelit Starlink pada 1 Ogos yang dikirim dari Amerika Syarikat.
PETALING JAYA:
Seorang guru di Sekolah Kebangsaan (SK) Long Miri, Baram, Sarawak membelanjakan RM2,400 untuk membeli peranti satelit Starlink bagi meningkatkan capaian internet di kawasan pedalaman itu.

Muhammad Izzat Afif Hasim, 32, berkata beliau memesannya dari SpaceX secara dalam talian sebaik sahaja penjualannya di Malaysia dibuka 25 Julai lalu dan menerima peranti berkenaan pada awal bulan ini.

Menurutnya, kelajuan internet di kediamannya di kuarters sekolah itu meningkat sehingga 290 megabit per saat (Mbps), memudahkannya melayari internet bagi mencari bahan pembelajaran untuk anak muridnya selain melancarkan transaksi dalam talian.

“Di sini kami guna talian yang tawarkan data 15 gigabit (GB) dengan bayaran RM100, jadi kena jimat cermat kalau hendak muat naik kandungan dan melayari internet.

“Kalau guna Starlink bayar RM220 sebulan untuk data tanpa had, kelajuannya juga jauh berbeza,” kata guru berasal dari Perak itu kepada FMT.

Video Izzat menerima kit permulaan peranti berkenaan yang dikirim dari Amerika Syarikat tular media sosial menerusi hantaran oleh isterinya di TikTok.

Izzat yang telah lapan tahun bertugas di SK Long Miri berkata ada guru di Baram turut membeli peranti satelit Starlink selepas melihat kelajuan dan capaian internet tanpa had dinikmatinya.

“Rata-rata memberi maklum balas baik.

“Memang ada kemudahan disediakan di sekolah tetapi data serta kelajuannya mungkin agak terhad,” katanya menghargai usaha kerajaan membenarkan penggunaan peranti berkenaan untuk mengatasi masalah capaian internet terhad bagi pendidikan di luar bandar.

Bulan lalu, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan rancangan perolehan 40 peranti satelit Starlink untuk kegunaan di universiti, kolej dan sekolah seluruh negara, selepas perbincangan dengan Pengasas Tesla dan SpaceX, Elon Musk pada 14 Julai.

Starlink adalah peralatan komunikasi satelit daripada SpaceX yang menyediakan rangkaian internet menerusi beberapa satelit SpaceX di orbit bumi rendah.

Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Kuala Pilah, Negeri Sembilan menjadi lokasi pertama pemasangan peranti berkenaan diikuti di Kampung Orang Asli Hulu Kemensah, Selangor.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.