
“Siaran akhbar dikeluarkan oleh SPRM bertarikh 7 Ogos menggambarkan saya dalam keadaan paling teruk, bahawa saya melarikan diri untuk mengelakkan pendakwaan.
“Peninggalan saya dari negara ini yang dilakukan secara sah, berbalik terhadap saya, sebagai tanda kelakuan bersalah,” katanya dalam kenyataan.
Sebelum ini, SPRM berkata Mansoor dan menantu bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin, Adlan Berhan, meninggalkan negara pada Mei.
Kedua-duanya dicari untuk membantu dalam apa yang dipercayai sebagai penyiasatan ke atas projek melibatkan pendaftaran, pengambilan dan penyimpanan data biometrik pekerja asing di sebuah kementerian.
Mansoor berkata beliau telah dihubungi oleh pegawai SPRM dan telah membalasnya menerusi surat pada 3 Jun bahawa beliau telah meninggalkan negara ini untuk urusan perniagaan dan bercuti, dan akan kembali apabila “urusannya selesai”.
“Walaupun begitu, saya tidak menerima sebarang maklum balas rasmi daripada SPRM,” katanya.
“Sebarang kenyataan bahawa saya tidak boleh dihubungi adalah tidak benar. Pegawai penyiasat mengetahui keberadaan saya.”
Sebelum meninggalkan negara ini, katanya, beliau telah dipanggil SPRM pada Mac lalu dan telah memberikan kerjasama. Bagaimanapun, beliau mendakwa tiada bukti ditunjukkan untuk menyokong dakwaan rasuah.
Beliau seterusnya mendakwa seorang pegawai kanan SPRM cuba memujuknya untuk memindahkan sahamnya dalam NERS Sdn Bhd, namun ditolaknya. “Adalah jelas bahawa apa yang saya alami sekarang adalah disebabkan oleh keengganan saya untuk memindahkan saham.”
Mansoor juga berkata beliau dilibatkan secara tidak sah kerana kaitannya dengan Adlan.
Katanya, beliau akan kembali ke Malaysia untuk menghadapi pendakwaan, jika ada, tetapi tidak akan berbuat demikian jika dia dianiaya.
“Saya sedang berunding dengan peguam cara saya mengenai siaran akhbar serta tindakan saya seterusnya, termasuk memulakan saman terhadap SPRM kerana salah guna kuasa dan penyelewengan dalam jawatan awam,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki yang dipetik Berita Harian meminta Mansoor dan Adlan tidak terus memberikan banyak alasan, sebaliknya pulang ke negara ini untuk berdepan siasatan.
“Balik saja dan jangan bagi banyak alasan. Saya tetap dengan pendirian saya. Awak (kedua-duanya) balik saja dan hadapi apa jua siasatan dan jangan bagi banyak alasan, saya tidak mahu dengar.
“Mungkin cakap saya ini, cakap yang orang tidak suka tetapi itulah saya. Jadi awak berdua, balik sahaja dan jangan bagi alasan,” katanya kepada pemberita dalam satu majlis di Kuala Lumpur hari ini.