LHDN kutip cukai RM105.94 bilion hingga Julai

LHDN kutip cukai RM105.94 bilion hingga Julai

Jumlah itu melebihi 20% daripada kutipan tahun lalu bagi tempoh sama.

LHDN juga merekodkan RM94.469 juta taksiran baharu menerusi program pengakuan khas sukarela melibatkan 13,109 syarikat dan individu sejak dibuka pada 6 Jun.
PETALING JAYA:
Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) merekodkan kutipan cukai melepasi tiga digit berjumlah RM105.94 bilion hingga 31 Julai tahun ini.

Timbalan Menteri Kewangan, Steven Sim, yang melakukan lawatan kerja ke agensi itu baru-baru ini berkata kutipan berkenaan melebihi 20% daripada kutipan tahun lalu bagi tempoh sama.

Katanya, LHDN juga merekodkan sebanyak RM94.469 juta taksiran baharu menerusi program pengakuan khas sukarela melibatkan 13,109 syarikat dan individu sejak dibuka pada 6 Jun, dan lebih banyak pihak menyertainya yang akan berakhir pada Mei tahun depan.

“Saya percaya, LHDN akan mencipta sejarah baru kutipan negara pada hujung tahun ini berdasarkan prestasi semasa yang sangat cemerlang,” katanya dalam kenyataan.

Pada Mei lalu, Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata LHDN merekodkan kutipan cukai sebanyak RM175 bilion tahun lalu, jumlah kutipan tertinggi dalam sejarah.

Dalam pada itu, Sim berkata LHDN sedia melaksanakan perkhidmatan e-invois dengan projek rintis akan bermula awal Januari tahun depan, sebelum ia diwajibkan pada Jun.

“Pembayar cukai yang memperolehi jualan tahunan melebihi RM100 juta akan diwajibkan menggunakan perkhidmatan ini pada Jun 2024.

“Perkhidmatan e-invois ini diharapkan dapat membantu kerajaan memerangi ekonomi bayangan yang dianggarkan bernilai 30% daripada nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara,” katanya dalam kenyataan.

Pelaksanaan e-invois diperkenal bagi meningkatkan kecekapan pentadbiran cukai, dalam masa sama memudahkan pembayar cukai menyimpan dan mengawasi rekod kewangan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.