Rosmah sekali lagi mohon pelepasan pasport

Rosmah sekali lagi mohon pelepasan pasport

Rosmah Mansor berhasrat melawat anaknya Nooryana Najwa Najib yang bakal melahirkan anak ketiganya pada 28 Ogos di Singapura.

Rosmah Mansor sedang merayu sabitan oleh Mahkamah Tinggi atas kesalahan rasuah dan hukuman penjara 10 tahun serta denda RM970 juta. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Rosmah Mansor sekali lagi memohon kepada mahkamah pelepasan sementara pasportnya untuk ke Singapura bertemu anak perempuannya Nooryana Najwa Najib dan ahli keluarga lain.

Dalam permohonan difailkan melalui peguamcaranya Akberdin & Co minggu lalu, Rosmah berkata Nooryana dijadual melahirkan anak ketiganya pada 28 Ogos.

Isteri bekas perdana menteri Najib Razak itu berkata, beliau berharap permohonannya dibenarkan kerana sudah mematuhi semua syarat dikenakan mahkamah berhubung perjalanan ke luar negara sebelum ini.

Beliau berkata tiada pihak akan prejudis dengan permohonan itu.

Rosmah memohon pelepasan sementara pasportnya dari 18 Ogos hingga 23 Ogos, 26 Ogos hingga 6 Sept, dan 9 Sept hingga 31 Okt.

Katanya, beliau akan kembali ke Malaysia untuk tempoh antara tarikh tersebut bagi menghadiri prosiding mahkamah yang sedang berjalan.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn mengesahkan pihak pendakwaan telah diserahkan salinan permohonan Rosmah dan berkata Mahkamah Rayuan akan mendengar perkara itu esok.

Pada Jun, Mahkamah Rayuan membenarkan pelepasan pasport Rosmah untuk perjalanan ke Singapura antara 15 Jun dan 7 Julai. Pihak pendakwaan tidak membantah permohonan itu.

Pada 1 Sept 2022, Rosmah, 71, disabitkan bersalah meminta RM187.5 juta daripada bekas pengarah urusan Jepak Holdings Sdn Bhd, Saidi Abang Samsudin melalui bekas pembantunya, Rizal Mansor, sebagai dorongan untuk membantu syarikat memperoleh RM1.25 bilion Projek tenaga solar sekolah luar bandar Sarawak.

Dia juga disabitkan atas pertuduhan menerima rasuah RM5 juta dan RM1.5 juta daripada Saidi masing-masing pada 20 Dis 2016 dan 7 Sept 2017.

Hakim perbicaraan Zaini Mazlan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun atas ketiga-tiga pertuduhan itu, tetapi memerintahkan ia berjalan serentak. Dia juga didenda RM970 juta.

Rosmah dibebaskan dengan jaminan RM1 juta sementara menunggu perbicaraan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Dia juga dibicarakan atas 12 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM7.09 juta dan lima pertuduhan gagal mengisytiharkan pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbicaraan akan bermula pada 24 Ogos jika peguam negara menolak representasi difailkan bagi pihaknya yang meminta pertuduhan digugurkan.

Ini adalah kali keempat Rosmah memohon pelepasan pasportnya bagi membolehkannya ke Singapura.

Permohonan pertama dibuat dengan Mahkamah Tinggi pada 15 Okt 2021. Bagaimanapun, pada 2 Dis 2021, FMT melaporkan pihak pendakwaan meminta Mahkamah Rayuan mengeluarkan waran tangkap dan membatalkan jaminan Rosmah, atas kegagalannya mematuhi perintah untuk pulang ke Malaysia selewat-lewatnya pada 21 Nov 2021. Permintaan itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

Permintaan kedua, membabitkan tempoh 23 Mac hingga 6 Mei, dibuat bagi membolehkannya membantu menjaga cucu yang sakit.

Nooryana berkahwin dengan Daniyar Kessikbayev, warga Kazakhstan. Pasangan itu dan dua anak lelaki mereka kini menetap di Singapura.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.