Kes kematian di kondo tiada unsur jenayah, 9 saksi dipanggil

Kes kematian di kondo tiada unsur jenayah, 9 saksi dipanggil

Polis berkata siasatan awal mendapati hanya jeriji besi dikunci dari bahagian luar dan pintu utama boleh dibuka.

Ketua Polis Petaling Jaya Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid berkata keterangan keluarga mangsa, jiran dan pemilik rumah sudah diambil. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Polis sudah mengambil keterangan sembilan saksi berhubung kes seorang lelaki ditemui maut dalam keadaan kurus kering di kondominium sewanya di Kota Damansara bulan lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata individu dipanggil itu termasuk keluarga mangsa, jiran dan pemilik rumah.

“Kita sedang lengkapkan kertas siasatan dan akan rujuk kepada timbalan pendakwa raya dalam masa terdekat,” katanya menurut Harian Metro.

Berhubung dakwaan mangsa dikurung pemilik rumah sehingga mati kebuluran, beliau berkata, siasatan awal mendapati hanya jeriji besi dikunci dari bahagian luar dan pintu utama boleh dibuka.

Katanya, mangsa tidak menjerit meminta tolong atau menghubungi keluarganya, bahkan jiran juga tidak memaklumkan sebarang kejadian mencurigakan kepada polis sebelum mayat mangsa ditemui.

“Siasatan awal dapati tiada unsur jenayah, bagaimanapun kita akan minta jalankan inkues selepas siasatan dilengkapkan.”

Semalam, Harian Metro melaporkan ibu mangsa, Ang Seok Choo, 73, menuntut siasatan terperinci dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kematian anaknya berusia 48 tahun itu.

Dia mendakwa kematian mangsa berpunca daripada tindakan pemilik rumah mengunci jeriji rumah kerana anaknya gagal membayar sewa tertunggak berjumlah RM5,000.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.