Umno buat ‘post mortem’ cari kelemahan di PRN, kata Khaled Nordin

Umno buat ‘post mortem’ cari kelemahan di PRN, kata Khaled Nordin

Naib presiden Umno itu berkata banyak faktor yang menyumbang kekalahan parti itu dalam PRN di enam negeri pada Sabtu lalu.

Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata hanya masa akan tentukan hasil kerjasama antara Barisan Nasional dan Pakatan Harapan.
SERDANG:
Umno akan mengadakan “post mortem” bagi mengenal pasti kelemahan yang menyumbang kepada kekalahan di kerusi yang ditandingi parti itu, pada PRN di enam negeri Sabtu lalu, kata Naib Presidennya Khaled Nordin.

Mengulas desakan agar Presiden Umno Zahid Hamidi berundur ekoran keputusan PRN yang tidak menyebelahi parti itu, Khaled yang juga menteri pengajian tinggi berkata terdapat banyak faktor yang mungkin mempengaruhi keputusan PRN itu.

“Biar reda (dulu), kita lakukan ‘post mortem’ dan cari kelemahan kita,” katanya yang menambah desakan Zahid berundur, hanyalah jalan pintas dan mudah sebagai alasan atas kekalahan itu.

Umno yang mewakili Barisan Nasional (BN) hanya memenangi 19 kerusi DUN daripada 108 yang ditandingi dalam PRN di enam negeri itu. BN menang 14 kerusi di Negeri Sembilan, dua masing-masing di Selangor dan Pulau Pinang, satu di Kelantan serta gagal meraih sebarang kerusi di Kedah dan Terengganu.

“Mungkin bagi pengundi Umno, ini pertama kali bekerjasama dalam satu pasukan yang dahulunya mereka lawan sama sendiri. Ini semua ambil masa dan hanya masa akan tentukan,” katanya selepas merasmikan Persidangan Keterjaminan Makanan Kebangsaan 2023.

Terdahulu ketika berucap merasmikan persidangan itu, Khaled meminta peserta untuk mengemukakan lima idea besar yang bersifat pengubah keadaan dalam isu keterjaminan makanan dalam negara, yang antaranya menyentuh cadangan strategi jangka pendek dan panjang.

“Carilah mekanisme atau jalan baharu yang radikal, praktikal dan yang benar-benar membawa perubahan. Bagaimana kita harus memacu dan memberi nilai tambah dalam aspek keterjaminan makanan dan pertanian mampan,” katanya.

Persidangan tersebut membincangkan isu sekuriti makanan dalam negara secara intensif dan bertujuan membentuk kerjasama antara institusi awam dan swasta, ke arah mencapai pertanian lestari dan kestabilan sekuriti makanan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.