
Menurut sumber, beberapa pemimpin Umno Pulau Pinang tidak mahu bekas menteri Reezal Merican Naina Merican menjadi timbalan ketua menteri, meskipun beliau dikatakan pilihan untuk jawatan itu.
Mereka yang menolak Reezal sebaliknya mahu Adun Sungai Acheh Rashidi Zinol diangkat sebagai timbalan ketua menteri.
Pada PRU15 peringkat Pulau Pinang baru-baru ini, Reezal menawan DUN Bertam dengan kelebihan 2,321 undi, manakala Rashidi menang di Sungai Acheh dengan majoriti 124 undi.
“Pakatan Harapan cenderung kepada Reezal kerana pengalamannya serta kemenangan yang menyakinkan di Bertam,” kata sumber.
“Tapi ada pemimpin Umno Pulau Pinang risau Reezal akan mengancam kedudukan mereka.”
Sumber mendakwa beberapa pemimpin Umno nasional juga tidak mahu Reezal dilantik timbalan ketua menteri meskipun beliau lebih berpengalaman daripada Rashidi dari segi pentadbiran dan politik.
Terdahulu, sumber memberitahu FMT bahawa Reezal mungkin dilantik sebagai timbalan ketua menteri.
Semalam, Setiausaha Agung DAP Loke Siew Fook mengesahkan seorang wakil rakyat BN akan menganggotai kerajaan Pulau Pinang.
Majlis angkat sumpah para exco akan diadakan esok, di Seri Mutiara.