
Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming berkata keputusan PRN di Negeri Sembilan boleh dijadikan contoh bagaimana dua bekas seteru itu boleh bekerjasama dengan baik.
“Kita dapat lihat kerjasama Umno dan DAP di landasan betul berdasarkan prestasi di Negeri Sembilan (di mana Pakatan Harapan dan Umno memenangi 31 daripada 36 kerusi ditandingi mereka).
“Umno juga hampir memenangi setiap kerusi yang ditandinginya di sana,” katanya selepas majlis prapelancaran Anugerah Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan dan Kecemerlangan Media 2023 di sini.
Menteri pembangunan kerajaan tempatan itu berkata, keputusan PRN adalah permulaan baik untuk dua parti itu keana ini kali pertama Umno dan DAP bertanding bersama.
“Kami baru bersama selama sembilan bulan, jadi beri kami empat atau lima tahun dan saya yakin kerajaan perpaduan akan bertambah kuat dan stabil.”
Ahad lalu, Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Isham Jalil mendesak kepimpinan tertinggi Umno membuat pertimbangan drastik khususnya kerjasama dengan DAP, selepas keputusan buruk direkodkan parti itu dalam PRN di lima negeri lain Sabtu lalu.
Umno hanya memenangi 19 daripada 108 kerusi DUN ditandinginya, susulan prestasi hambar pada PRU15 November lalu, di mana ia hanya menang 26 daripada 120 kerusi ditandinginya.
Isham melalui catatan Facebook berkata, beliau menemui ahli parti yang menyuarakan kebimbangan untuk bekerjasama dengan DAP semasa kempen PRN.
Bekas ketua penerangan Umno itu berkata, kepimpinan parti perlu “menyelesaikan isu DAP” dan mencadangkan ia mempertimbangkan kerjasama dengan DAP dalam kerajaan perpaduan saja, bukan di gelanggang pilihan raya.