
Kartini Aboo daripada Universiti Kebangsaan Malaysia berkata krisis dalaman Umno susulan protes terhadap Zahid, menyebabkan wujud undi sabotaj akar umbi parti itu sehingga memangkah Perikatan Nasional (PN) pada PRN Sabtu lalu.
Keadaan itu menyebabkan PH-BN hanya menang 34 daripada 56 DUN di Selangor, kurang empat untuk mencapai majoriti dua pertiga dan Umno memperoleh dua kerusi.
Di Kedah dan Terengganu wakilnya kalah di semua kerusi manakala dua di Pulau Pinang dan satu di Kelantan. Namun, parti itu cemerlang di Negeri Sembilan dengan menawan 14 DUN.
“Percaturan PH-BN ditolak oleh majoriti orang Melayu. Umno kini ibarat sudah jatuh ditimpa tangga,” katanya kepada FMT.
Justeru, katanya, Zahid perlu berjiwa besar dan sedia berkorban demi memulihkan Umno dari dalam dengan berundur secara terhormat.
“Umno perlu segera membuang toksin dalam parti, bersedia untuk melakukan reformasi dalaman dan memberi peluang kepada pemimpin baharu,” katanya sambil menambah Ahli Parlimen Sembrong Hishammuddin Hussein mungkin mampu memikul “beban berat” itu.
Bagaimanapun, Kartini berpandangan Umno tidak akan terkubur seperti mana telahan ramai pihak, kerana lebih 3 juta ahli parti itu masih mahu Umno bangkit demi bangsa dan agama.
“Sukar untuk mengatakan bahawa Umno akan terkubur. Realitinya ramai yang kecewa dengan kepimpinan Umno sekarang, namun ramai yang masih nostalgik dengan Umno dan mahu ia bangun semula, pulang ke pangkal jalan.”
Pengarah Eksekutif Ilham Centre Hisommudin Bakar pula berkata sukar bagi Umno bangkit sekiranya masih dipimpin Zahid yang kesannya dapat dilihat apabila parti itu kalah di 89 daripada 108 kerusi di PRN enam negeri.
“Ini menunjukkan wujud krisis keyakinan yang besar terhadap gaya kepimpinan presiden Umno itu,” katanya sambil dapatan badan penyelidik itu mendapati memang wujud perpindahan undi penyokong BN kepada PN atas faktor berkenaan.
Kuasa politik orang Melayu beralih dari BN-Umno kepada PN
Hisommudin berkata keputusan PRN jelas menunjukkan kuasa politik Melayu kini sudah berpindah tangan daripada Umno kepada PN.
“Itu hakikat yang perlu diterima oleh Umno sekarang. Umno dan parti kerajaan hanya memperoleh sekitar 25% sokongan pengundi Melayu. Itu pun mujur datang dari Negeri Sembilan dan Melayu bandar di Selangor,” katanya.
Melangkah ke depan, beliau berkata Umno tiada pilihan lain kecuali berusaha kembali meraih sokongan Melayu dan jika gagal parti diasaskan pada 1946 akan menerima nasib sama seperti rakan komponen BN – MCA dan MIC yang ditolak pengikut kaum masing-masing.