Gugur semua kes ‘pendakwaan terpilih’ ke atas pemimpin PN, gesa Hamzah

Gugur semua kes ‘pendakwaan terpilih’ ke atas pemimpin PN, gesa Hamzah

Ketua Pembangkang, Hamzah Zainudin berkata pendakwaan itu perlu dikaji semula susulan pembebasan Muhyiddin Yassin hari ini.

Hamzah Zainudin bersama dua pemimpin Bersatu berkata, keputusan Mahkamah Tinggi hari ini membuktikan Muhyiddin Yassin tidak bersalah.
PETALING JAYA:
Ketua pembangkang, Hamzah Zainudin menggesa Peguam Negara, Idrus Harun mengkaji semula semua pertuduhan dihadapi pemimpin Bersatu dan Perikatan Nasional susulan pembebasan Muhyiddin Yassin oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Setiausaha agung Bersatu itu berkata, Idrus perlu mengkaji kemungkinan menarik balik pertuduhan dikenakan terhadap pemimpin pembangkang lain kerana ia mungkin kes “pendakwaan terpilih”.

Beliau mendakwa keputusan mahkamah membuktikan kerajaan pimpinan Pakatan Harapan-Barisan Nasional mengada-adakan pertuduhan terhadap Muhyiddin demi kepentingan politik.

“Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bukan saja memutuskan pertuduhan ke atas Muhyiddin sebagai cacat, tidak berasas, kabur serta tidak selaras Kanun Tatacara Jenayah, tetapi juga merupakan kesalahan penggunaan proses mahkamah,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Ketua Pemuda Bersatu, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata keputusan itu membuktikan tuduhan salah guna kuasa terhadap Muhyiddin adalah fitnah dan berniat jahat.

“Terbukti (Perdana Menteri) Anwar Ibrahim dan konco-konconya adalah penipu, pembohong dan zalim dengan salah guna aparatus kerajaan,” katanya di Facebook.

Naib Presiden Bersatu, Ronald Kiandee pula berkata keputusan mahkamah membebaskan Muhyiddin daripada pertuduhan membuktikan pengerusi PN itu tidak bersalah.

“Dari awal kita kata pertuduhan ini tidak berasas, salah guna proses mahkamah dan selektif. Hari ini, mahkamah telah membuat keputusan. Bebas. Saya ulang Muhyiddin bebas,” katanya di Facebook.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.