Gaji progresif sukarela dedah pekerja kepada eksploitasi, kata ahli ekonomi

Gaji progresif sukarela dedah pekerja kepada eksploitasi, kata ahli ekonomi

Pakar berkata, sifat pasaran buruh yang rapuh bermakna insentif dan kenaikan gaji perlu memanfaatkan pekerja dan majikan secara bersama.

Ahli ekonomi berpendapat, kenaikan gaji tahunan mandatori boleh menambah beban tidak perlu kepada perniagaan kecil.
PETALING JAYA:
Dasar gaji progresif sukarela akan memberi impak positif kepada persaingan dan pampasan pekerja, tetapi boleh menyebabkan pasaran buruh terdedah kepada ketidaksamaan gaji serta eksploitasi, kata ahli ekonomi.

Pensyarah kanan ekonomi Universiti Malaya, Goh Lim Thye berkata jika ramai majikan memilih tidak menyertai sistem itu, pekerja dalam syarikat terbabit mungkin mendapat gaji lebih rendah secara berterusan tanpa peluang kemajuan kerjaya yang adil.

“Hasil sebenar akan ditentukan pelbagai faktor seperti sikap majikan, permintaan buruh, dinamik pasaran dan campur tangan kerajaan,” katanya kepada FMT.

Isnin lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim dilaporkan berkata dasar gaji progresif dicadangkan kerajaan bersifat sukarela, berasaskan insentif dan berkaitan produktiviti.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli sebelum ini memberi bayangan cadangan gaji progresif mungkin membabitkan kenaikan gaji tahunan secara mandatori.

Goh berkata, majikan perlu mereka bentuk skim pampasan berasaskan insentif mereka untuk memastikan ia sejajar prestasi pekerja, objektif keseluruhan syarikat dan kesihatan mental pekerja.

Katanya, satu kajian baru-baru ini menunjukkan pekerja menerima gaji berasaskan prestasi bekerja lebih keras, tetapi mengalami tahap tekanan lebih tinggi dan kepuasan kerja lebih rendah.

Beliau berkata, mewajibkan kenaikan gaji tahunan mungkin bukan idea baik kerana ia akan menambah beban kewangan perniagaan kecil dan tekanan inflasi daripada peningkatan kos pengeluaran.

“Beban ini boleh dipindahkan kepada pengguna melalui kenaikan harga.”

Carmelo Ferlito dari Pusat Pendidikan Pasaran berkata, sistem gaji berkaitan produktiviti akan memberi insentif kepada pekerja dan majikan untuk bekerjasama dalam meningkatkan produktiviti.

Katanya, sifat sukarela dasar ini mengiktiraf sifat berpecah kapitalisme Malaysia, yang dicirikan banyak perniagaan mikro.

“Oleh itu, ia mengiktiraf mekanisme automatik mungkin tidak sesuai untuk setiap perniagaan dan memerlukan fleksibiliti.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.