Selamat maju jaya Aminuddin, kata Umno NS

Selamat maju jaya Aminuddin, kata Umno NS

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias berkata pihaknya menghormati keputusan pimpinan melantik Aminuddin Harun menerajui negeri.

Ketua Umno Negeri Sembilan Jalaluddin Alias mengucapkan selamat maju jaya kepada Aminuddin Harun dalam menguruskan kerajaan untuk kepentingan semua kaum.
PETALING JAYA:
Umno Negeri Sembilan mengucapkan tahniah dan selamat maju jaya kepada Aminuddin Harun atas pelantikan semula sebagai menteri besar.

Ketua Umno Negeri Sembilan, Jalaluddin Alias, berkata pihaknya menghormati keputusan pimpinan melantik Aminudin menerajui negeri walaupun mereka memperoleh 14 daripada 17 kerusi ditandingi pada PRN Sabtu lalu.

“Saya menghormati keputusan dibuat pimpinan parti, kerajaan dan perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.

“Saya ucapkan tahniah dan selamat maju jaya dalam menguruskan kerajaan serta rakyat di Negeri Sembilan untuk kepentingan semua kaum,” katanya kepada FMT.

Aminuddin mengangkat sumpah di Istana Besar Seri Menanti, Kuala Pilah kira-kira 4.15 petang tadi.

Terdahulu, timbul spekulasi Aminuddin akan digantikan untuk jawatan tertinggi negeri itu.

Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu, berkata Pakatan Harapan (PH) perlu memberikan jawatan itu kepada ketua Barisan Nasional negeri, Jalaluddin.

Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerajaan negeri baharu selepas memenangi majoriti dua pertiga di 36 kerusi DUN Sabtu lalu.

PH menang 17 kerusi (DAP 11, PKR lima dan Amanah satu) manakala BN menguasai 14 kerusi, semuanya melalui Umno.

Perikatan Nasional (PN) memenangi baki lima kerusi menerusi PAS (tiga) dan Bersatu (dua). Ia tidak memenangi sebarang kerusi sebelum ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.