
Dalam video tular, penumpang itu dilihat memarahi kru penerbangan yang dipercayai cuba menenangkan lelaki berkenaan.
Menurut laporan Daily Mail, seorang penumpang dalam pesawat sama mendakwa lelaki tersebut pada satu ketika memasukkan tangannya dalam beg galasnya dan mula mengancam kononnya dia memiliki sesuatu yang “berbahaya”.
Bagaimanapun, dipercayai kru penerbangan memeriksa beg galas itu dan tidak menemui apa jua barang mencurigakan mahupun berbahaya.
Sebagai langkah berjaga-jaga, juruterbang pesawat Airbus A330 memutuskan untuk berpatah balik ke Sydney.
Pesawat itu mendarat pada 4 petang waktu tempatan di kawasan terpencil di penghujung landasan. Kenderaan kecemasan segera mengepung pesawat berkenaan.
Penumpang pesawat yang berada berdekatan penumpang tersebut telah dipindahkan ke bahagian lain pesawat dan dikeluarkan ke lokasi selamat.
Memetik seorang penumpang sebagai berkata, penerbangan ke Kuala Lumpur tertangguh selama dua jam.
Dalam media sosial, beberapa penumpang menaiki pesawat ada memuatnaik video berhubung insiden berkenaan.
“#Sydney Airport menderita di tangan orang tidak keruan dengan menjadikan #MH122 sebagai tebusan. Berdoa agar keselamatan dan kesejahteraan semua,” kata Jawad Nazir dalam ciapan.
Dalam kenyataan, Malaysia Airlines mengesahkan juruterbang pesawat membuat keputusan berpatah balik.
Katanya, pesawat membawa 194 penumpang dan lima anak kapal selamat mendarat di Sydney.