PRN referendum rakyat tolak kerajaan, Anwar; Zahid perlu letak jawatan, kata Muhyiddin

PRN referendum rakyat tolak kerajaan, Anwar; Zahid perlu letak jawatan, kata Muhyiddin

Muhyiddin Yassin berkata Perikatan Nasional (PN) menguasai 245 kerusi dipertandingkan pada PRN di enam negeri.

Muhyiddin Yassin bercakap pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN.
SHAH ALAM:
Muhyiddin Yassin berkata Anwar Ibrahim perlu meletak jawatan sebagai perdana menteri susulan referendum rakyat hasil keputusan PRN di enam negeri yang majoritinya dikuasai Perikatan Nasional (PN).

Tuntutan sama turut dibuat kepada Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Pengerusi PN itu berkata kejayaannya menguasai 60% daripada 245 kerusi dipertandingkan dan mengekalkan pentadbiran di Kedah, Terengganu serta Kelantan membuktikan sokongan Melayu semakin kukuh kepada PN, dan ia menjadi tamparan hebat kepada gabungan kerajaan perpaduan itu.

Menurutnya, PN yang menang 22 kerusi di Selangor juga berjaya menafikan majoriti dua pertiga PH-BN, kubu kuat gabungan itu sejak sekian lama.

“Ini membuktikan penolakan besar-besaran orang Melayu dan termasuk juga masyarakat bukan Melayu terhadap gabungan politik rapuh dan perpaduan palsu diterajui Anwar dan Zahid.

“Pilihan raya ini referendum penolakan rakyat terhadap kerajaan gabungan PH dan BN.

“Anwar dan Zahid yang menerajui gabungan ini mesti mengambil tanggungjawab moral dengan meletakkan jawatan sebagai perdana Menteri dan timbalan perdana menteri dengan serta merta,” katanya pada sidang media selepas pengumuman keputusan PRN enam negeri.

PRN semalam menyaksikan PH dan BN mengekalkan penguasaan di Pulau Pinang, Negeri Sembilan, dan Selangor.

Namun PN berjaya meluaskan pengaruhnya di Selangor apabila mencipta kejutan menang 22 kerusi, pertambahan 20 kerusi baharu.

PN juga kembali menerima mandat rakyat di Kedah, Terengganu dan Kelantan, dengan kesemuanya dikuasai dengan majoriti dua pertiga.

Muhyiddin juga mendakwa keputusan PRN membuktikan Umno tidak lagi relevan dalam membawa suara orang Melayu apabila parti pimpinan Zahid itu hanya menang 19 daripada 108 kerusi yang ditandingi.

Katanya, ia terbukti apabila kerusi majoriti Melayu khususnya di Selangor berjaya ditembusi PN.

“Keputusan malam ini menunjukkan PN wadah utama politik Melayu masa kini, Umno sudah tidak relevan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.