Bukan kehendak sebenar rakyat, kata Juwairiya selepas dikalahkan Azmin

Bukan kehendak sebenar rakyat, kata Juwairiya selepas dikalahkan Azmin

Timbalan ketua Wanita PKR berkata keputusan semalam tidak mencerminkan kehendak sebenar penduduk Hulu Kelang apabila 22,125 tidak keluar mengundi.

Keputusan PRN semalam menyaksikan Juwairiya Zulkifli memperoleh 23,980 undi, berbanding Azmin Ali yang mendapat 25,597 undi.
PETALING JAYA:
Juwairiya Zulkifli yang kalah kepada Azmin Ali di Hulu Kelang dengan 1,617 undi berkata, keputusan semalam tidak mencerminkan kehendak sebenar rakyat kawasan itu apabila 22,125 orang atau 31% tidak keluar mengundi.

Timbalan ketua Wanita PKR berkata, “angka membimbangkan” itu perlu dikaji secara mendalam untuk mengetahui apakah petunjuk sebenar cuba disampaikan oleh kelompok berkenaan.

“Apa yang lebih membimbangkan dan perlu dikaji adalah mengapa 22,125 orang (31%) warga Hulu Kelang tidak keluar mengundi?

“Ini adalah angka yang besar dan tidak mencerminkan kehendak sebenar keseluruhan rakyat,” katanya.

Keputusan PRN semalam menyaksikan Juwairiya daripada Pakatan Harapan (PH) memperoleh 23,980 undi, berbanding Azmin daripada Perikatan Nasional (PN) yang mendapat 25,597 undi.

DUN Hulu Kelang merekodkan 71,702 pengundi bagaimanapun hanya 49,577 atau 69% sahaja keluar mengundi.

Juwairiya yang bertukar kerusi dari Bukit Melawati bagaimanapun berkata, beliau reda dengan pilihan warga Hulu Kelang, selepas bekerja keras dalam tempoh dua minggu untuk meyakinkan rakyat.

“Kami telah berikan yang terbaik dan bekerja keras siang malam. Kita sudah memberikan tentangan sengit,” katanya.

Beliau mengucapkan tahniah kepada Azmin dan berharap pengerusi PN Selangor itu tidak “memilih bulu” dalam menyantuni rakyat, selain kerap turun padang menyelesaikan masalah mereka.

“Bukan hanya ketika Ramadan atau dua bulan sebelum pilihan raya.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.