Reformasi ‘dah mati’, kata Wan Fayhsal

Reformasi ‘dah mati’, kata Wan Fayhsal

Ketua Pemuda Bersatu itu berkata, reformasi tidak mungkin berlaku apabila timbalan perdana menteri sendiri dibicarakan atas tuduhan rasuah.

Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, pengundi dijanjikan ‘reformasi kosong’ oleh kerajaan perpaduan. (Gambar Facebook)
GOMBAK:
Ketua Pemuda Bersatu Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal melaungkan berakhirnya “Reformasi”, slogan yang pertama kali digunakan oleh penyokong Anwar Ibrahim dan diterima pakai oleh penyokong Pakatan Harapan (PH) bagi menuntut pembaharuan.

Sebaliknya, Wan Ahmad Fayhsal mengetuai penyokong Perikatan Nasional (PN) melaungkan “Referendum”, mencerminkan pandangan bahawa PRN di enam negeri esok turut akan menjadi undi terhadap kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.

Wan Ahmad Fayhsal, ketika berucap pada ceramah pilihan raya PN di sini berkata, pengundi dijanjikan “reformasi kosong” oleh kerajaan perpaduan, termasuk janji yang tidak ditunaikan.

“Sejak 10 bulan lepas, mereka (PH) laung ‘reformasi’. (Tetapi) percaya lah, reformasi sudah mati. Macam mana nak hidup (reformasi) kalau orang nombor 2 ada 47 kes mahkamah?” katanya, merujuk kepada tuduhan dihadapi Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid sedang dibicarakan atas 47 tuduhan rasuah berkait yayasan pimpinannya. Sebanyak 12 tuduhan membabitkan pecah amanah, lapan rasuah, dan 27 melibatkan pengubahan wang haram.

“Cukuplah sekali kita ditipu, dibohongi, dijanjikan reformasi kosong,” katanya sambil memimpin sorakan “Referendum” bersama hadirin.

Beliau menggesa pengundi di Hulu Kelang keluar beramai-ramai menyokong calon PN Azmin Ali, yang akan bersaing satu lawan satu menentang calon PH Juwairiya Zulkifli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.