Jemaah Menteri lulus cadangan lafaz ikrar Rukun Negara dalam program kerajaan

Jemaah Menteri lulus cadangan lafaz ikrar Rukun Negara dalam program kerajaan

Menteri Perpaduan Negara Aaron Ago Dagang berkata inisiatif itu untuk meningkatkan jati diri.

Sebelum ini, lafaz Rukun Negara dilakukan di setiap sekolah namun kebelakangan kurang diamalkan dengan kerajaan melihat ia perlu dikembalikan. (Gambar Bernama)
TAWAU:
Cadangan Kementerian Perpaduan Negara sebelum ini agar lafaz ikrar Rukun Negara dilaksanakan di setiap program rasmi kerajaan, diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri baru-baru ini.

Menterinya, Aaron Ago Dagang berkata perkara itu sebagai antara usaha memupuk semangat perpaduan dalam kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

“Kita di Kementerian Perpaduan merasakan jati diri melalui melafazkan rukun negara ini amat penting, sebab itu kita sebelum lafaz Rukun Negara, kita juga perlu baca mukadimah yang membawa erti perpaduan, keharmonian di Malaysia ini.

“Kalau dahulu lafaz ikrar ini juga dilakukan di setiap sekolah rendah, menengah, tetapi kebelakangan ini agak kurang, saya merasakan ini perlu dikembalikan,” katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan penutupan program jalinan integrasi nasional penjawat awam tahun 2023.

Aaron berkata, Rukun Negara dibentuk daripada peristiwa 13 Mei 1969, yang merupakan detik hitam dalam sejarah negara ini.

“Oleh sebab itu, ia menjadi asas kepada semua dasar dan aktiviti kerajaan untuk negara kita menjadi lebih aman, damai dan juga harmoni, kalau dalam Kementerian Perpaduan ini termasuk dalam program semarak kenegaraan, bukan itu saja terdapat banyak lagi perkara meningkatkan jati diri, patriotisme rakyat yang dilakukan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.