
Anggota Majlis Tindakan Pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963 Ewon Benedick berkata, perbincangan dalam Jemaah Menteri telah memperakukan beberapa pelaksanaan MA63 serta perbincangan susulan bagi memuktamadkan perkara lain yang berkaitan.
“Antaranya pindaan Rang Undang-Undang (RUU) Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi membolehkan wakil kerajaan negeri Sabah dan Sarawak dilantik sebagai ahli lembaga dan seterusnya mempunyai akses kepada jenis-jenis hasil persekutuan dan jumlah pungutan hasil daripada Sabah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap sempena sambutan ulang tahun Parti Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (Upko) ke-29 di Dewan Kampung Biau di sini hari ini.
Ewon yang juga menteri pembangunan usahawan dan koperasi berkata, pindaan itu akan dibentangkan semula dalam sesi Parlimen akan datang sebelum diluluskan bagi membolehkan wakil Sabah dan Sarawak dilantik secara rasmi.
RUU berkenaan dibentang untuk bacaan kali pertama pada 8 Jun lepas dan bacaan kali kedua yang sepatutnya diluluskan Dewan Rakyat pada 15 Jun ditangguhkan ke sidang akan datang.
Ahli Parlimen Penampang itu berkata, satu warta baharu juga yang akan dikeluarkan tahun ini berhubung pemberian khas kepada Sabah yang akan membatalkan warta tahun lepas.
“Saya menggalas amanah dan tanggungjawab ini sebagai anggota Jemaah Menteri kerajaan perpaduan, sebagai presiden Upko dan sebagai wakil rakyat Sabah.
“Saya mengambil bahagian dalam rundingan dan perbincangan sesuai dengan perjuangan selama ini,” kata Ewon, yang juga Adun Kadamaian.