Samanlah! Azam beritahu Hamzah

Samanlah! Azam beritahu Hamzah

Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya tidak akan tunduk kepada ancaman.

Azam Baki berkata beliau mahupun SPRM belum menerima surat tuntutan daripada Hamzah Zainudin setakat ini.
KUALA LUMPUR:
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan sekeras-kerasnya yang pihaknya menyalahgunakan kuasa dan bertindak dengan cara “politik partisan”, seperti didakwa bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin.

Ia susulan tindakan setiausaha agung Perikatan Nasional (PN) itu menghantar surat tuntutan kepada SPRM, ketua pesuruhjayanya Azam Baki, dan kerajaan, menuduh mereka “menyalahgunakan kuasa, berkomplot untuk memburukkan reputasinya sebagai ketua pembangkang, dan melakukan misfeasans dalam jawatan awam”.

Bagaimanapun, Azam berkata beliau mahupun SPRM belum menerima surat tuntutan itu setakat ini.

Sebagai respons kepada dakwaan Hamzah, Azam berkata, agensi antirasuah itu tidak akan tunduk kepada sebarang ancaman terhadapnya.

“Kami nafi dakwaan salah guna kuasa. Ini negara bebas, dan sesiapa sahaja boleh menyaman sesiapa, kami tidak akan tunduk pada sebarang ancaman.

“Teruskan saman kami, dan (kita) biar mahkamah tentukan,” katanya ketika dihubungi.

Terdahulu pada sidang media, Hamzah menyelar agensi itu kerana dikatakan menekan ahli perniagaan Sim Choo Thiam untuk mengaitkannya dengan kes rasuah RM15 juta.

Hamzah turut membacakan laporan polis dibuat Sim pada Jun lalu, yang menyatakan pegawai SPRM mengancamnya dengan tindakan jenayah dan penahanan melainkan beliau mengaitkan Hamzah dalam salah laku yang didakwa berlaku.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.