
Ahli Parlimen Titiwangsa itu mempersoalkan propaganda yang mendakwa keputusan PRN di Selangor, Pulau Pinang, Negeri Sembilan, Terengganu, Kelantan dan Kedah bakal menjadi referendum buat kerajaan pimpinan Anwar Ibrahim serta kerjasama Pakatan Harapan (PH) dengan Barisan Nasional (BN).
“Apa sahaja keputusan tidak mengubah kedudukan kerajaan persekutuan, macam mana hendak buat referendum kerana kerajaan ini baru lapan bulan.
“Kalau nak buat tunggu 2027 iaitu PRU16, itu baru referendum rakyat,” katanya pada program Soal Rakyat Khas PRN disiarkan di TV3 malam ini.
Beliau yang juga pengerusi Kelab Penyokong Kerajaan turut mempersoalkan sama ada perubahan pemerintahan baru berusia lapan bulan itu boleh menyelesaikan masalah.
“Saya nak tekankan jangan tertipu dengan propaganda bahawa kalau kita buat keputusan PRN ini boleh mengubah kerajaan persekutuan, itu tak mungkin sebab kita ada proses hendak tukar kerajaan.
“Kalau tengok PRU14 selepas 22 bulan tukar kerajaan…selepas 17 bulan tukar PM. Akhirnya rakyat yang terkesan,” katanya membidas propanda lawan pada kempen PRN tanpa mengambil kira isu setempat di negeri terbabit.
Sebelum ini, beberapa penganalisis politik berpendapat PRN bakal menjadi referendum kepada pentadbiran kerajaan perpaduan pimpinan Anwar.
Pemimpin pembangkang antaranya Presiden PAS Abdul Hadi Awang pula mendakwa bakal berlaku perubahan kerajaan jika Perikatan Nasional (PN) menang PRN enam negeri.
Namun Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman Said, bagaimanapun menegaskan tiada peruntukan dalam Perlembagaan yang menyatakan keputusan PRN akan membawa perubahan kepada pentadbiran kerajaan persekutuan.