
Pengasas bersama dan pengarah programnya, Ibrahim Suffian, berkata tidak seperti PRU15, segelintir pengundi mungkin tidak akan berusaha pulang ke kampung halaman untuk mengundi pada PRN kerana menganggap undi mereka tidak akan mengubah apa-apa, lapor China Press.
Pengerusi Institut Darul Ehsan (IDE) Redzuan Othman berkata, tinjauan pihaknya pada hari penamaan calon mendedahkan rakyat kurang teruja dengan PRN berbanding PRU15.
“Tinjauan kami mendapati, walaupun di Selangor, yang mana pengundi kebanyakannya menerima maklumat menerusi pelbagai media, peratusan keluar mengundi mungkin hanya 79%, sama seperti PRU15.
“Sekalipun ada peningkatan yang dijangka, hanya antara 2% hingga 3%,” katanya.
Redzuan berkata, tiga gabungan politik utama – Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) – memberikan tumpuan kepada kerusi diketahui boleh dimenangi dan tidak membuang masa di tempat lain.
Sementara itu, tinjauan IDE juga menunjukkan bahawa ahli parti akan mengundi mengikut kehendak kepimpinan.
“Sekurang-kurangnya 80% orang muda masuk dalam kategori belum membuat keputusan,” kata Redzuan sambil menambah, segala kegiatan kempen oleh gabungan politik dalam tempoh dua minggu lepas mungkin membantu pengundi membuat keputusan.
Katanya lagi, kempen PN kali ini tidak seagresif kempen PRU15. Hal ini mungkin disebabkan oleh kekangan kewangan, selepas akaun-akaun Bersatu dibekukan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Pengundi di enam negeri, iaitu Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kedah, Terengganu dan Kelantan akan memilih Adun baharu esok.