Henti bertindak ‘dengan cara politik partisan’, Hamzah beritahu SPRM

Henti bertindak ‘dengan cara politik partisan’, Hamzah beritahu SPRM

Bekas menteri dalam negeri itu menghantar surat tuntutan kepada SPRM, Azam Baki dan kerajaan.

Hamzah Zainudin menegaskan bahawa sebagai penjawat awam, SPRM mesti bersikap berkecuali dari segi politik.
KUALA LUMPUR:
Bekas menteri dalam negeri Hamzah Zainudin mengeluarkan surat tuntutan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana mengaitkannya dengan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.

Mendakwa SPRM bersikap partisan, Hamzah menuntut agensi antirasuah itu berhenti “bertindak dengan cara politik partisan”. Tambahnya, sebagai penjawat awam, agensi itu mesti bersikap berkecuali dari segi politik

Surat tuntutan itu turut dihantar kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki dan kerajaan.

“(Azam) dan beberapa pegawai SPRM menyalahgunakan kuasa mereka, melakukan misfeasans dalam jawatan awam, dan berpakat untuk menggambarkan saya sebagai seseorang yang telah melakukan kesalahan,” kata Ahli Parlimen Larut itu pada sidang media di Publika.

Terdahulu, setiausaha agung Perikatan Nasional itu berkata, beliau akan mengambil tindakan undang-undang terhadap kerajaan dan SPRM kerana mengaitkannya dengan kes rasuah membabitkan ahli perniagaan Sim Choo Tian.

Dalam surat tuntutannya, Hamzah mendakwa Sim diugut oleh pegawai SPRM akan dikenakan tindakan jenayah dan ditahan melainkan pemimpin Bersatu itu dibabitkan dengan tuduhan rasuah.

Hamzah turut mendakwa, sepanjang siasatan dijalankan, telah dijelaskan kepada pegawai terbabit bahawa beliau tidak terlibat dalam sebarang kegiatan rasuah.

“Akaun bank anak guam kami (Hamzah) dibekukan tanpa sebab atau justifikasi munasabah,” menurut surat yang dikeluarkan oleh Tetuan Chetan Jethwani & Company.

“Dan tiada kenyataan pernah dirakam daripada anak guam kami bagi mendapatkan versi ceritanya mahupun membenarkannya memberikan penjelasan sehingga selepas Sim didakwa di mahkamah.”

Pada Mei, Sim didakwa meminta RM15 juta daripada seorang ahli perniagaan lain, Hep Kim Hong, pada Jun 2021.

Menurut pihak pendakwaan, jumlah itu bertujuan sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd, mendapatkan projek Kementerian Dalam Negeri (KDN).

Sim didakwa atas tiga lagi tuduhan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek KDN. Dia mengaku tidak bersalah atas keempat-empat tuduhan itu.

Sebagai respons, Hamzah berkata, “individu dan ahli perniagaan tertentu” seolah-olah ditekan untuk “menuding jari” kepadanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.