
Abu Sofian Yaacob dari Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia berkata faktor seperti perang Ukraine-Rusia, menyumbang kepada inflasi dan menjejaskan kos sara hidup namun menjelaskan ia berada di luar kawalan pemerintah.
“Kedua-duanya (Ukraine dan Rusia) memainkan peranan penting dalam pengeluaran tanaman pertanian dan konflik ini mengganggu pengeluaran mereka, yang membawa kepada pengurangan bekalan.
“Kurang penawaran dan permintaan tinggi bermakna harga lebih tinggi. Apabila permintaan melebihi penawaran, harga naik,” katanya. “Jadi kita perlu membayar lebih untuk jumlah barangan import yang sama.”
Abu Sofian menambah ringgit yang lemah, ditambah dengan kenaikan kadar faedah AS, juga telah menyumbang kepada import yang lebih mahal untuk Malaysia.
Tahun lepas, Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) berkata inflasi boleh melonjak kepada 8% dalam kalangan ekonomi sedang pesat membangun seperti Malaysia, berikutan kesan konflik Ukraine-Rusia.

Inflasi Malaysia berada pada 2.8% pada Mei, dengan indeks harga pengguna (CPI) direkodkan pada 130.2 mata berbanding 126.6 mata pada bulan sama tahun lepas.
Sementara itu, timbalan menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup Fuziah Salleh berkata kerajaan telah melaksanakan beberapa inisiatif untuk mengurangkan tekanan luaran kepada rakyat kebanyakan, termasuk memantau harga barangan setiap hari.
“Salah satu inisiatif yang kami ada ialah inisiatif Payung Rahmah, yang memainkan peranan penting dalam menghulurkan sokongan dan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” katanya kepada FMT.
Inisiatif itu diperkenalkan kementerian pada Januari lalu, bertujuan mengurangkan kos sara hidup. Pasar raya besar, kedai makan dan hotel turut mengambil bahagian dalam inisiatif ini, yang tidak melibatkan pembiayaan dana awam.
Fuziah menambah kementerian juga mengadakan operasi penguatkuasaan di bawah pelbagai undang-undang, termasuk Akta Kawalan Harga dan Akta Anti Pencatutan 2011, bagi menjaga kepentingan pengguna.
“Kami juga mempunyai platform EzAdu yang membolehkan orang ramai membuat aduan berhubung isu berkaitan pengguna termasuk kenaikan harga.
“Aplikasi Price Catcher juga merupakan satu lagi inisiatif yang direka untuk membantu pengguna membandingkan dan mencari harga barang terendah di lokasi yang berbeza.”