Dikaitkan dakwaan rasuah RM15 juta, Hamzah hantar surat tuntutan

Dikaitkan dakwaan rasuah RM15 juta, Hamzah hantar surat tuntutan

Surat tuntutan itu akan dihantar kepada kerajaan dan SPRM kerana mengaitkan beliau dengan kes rasuah membabitkan seorang ahli perniagaan.

Hamzah Zainudin sekali lagi menegaskan beliau tiada kaitan dengan kes rasuah MR15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan. (Gambar Facebook)
SHAH ALAM:
Setiausaha Agung Perikatan Nasional (PN), Hamzah Zainudin akan menghantar surat tuntutan kepada kerajaan dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hari ini kerana dikaitkan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.

“Saya sudah jumpa peguam saya, insya Allah surat itu akan dihantar esok (hari ini),” katanya selepas menghadiri program “Pentas Setiausaha Agung PN” di sini, malam tadi.

Bagaimanapun, Hamzah tidak mengulas lanjut berhubung tuntutan itu.

Terdahulu, ketika berucap dalam program berkenaan, ketua pembangkang itu sekali lagi menegaskan beliau tiada kaitan dengan kes rasuah itu.

“Saya tiada kena-mengena dengan kes ini. Saya tidak menerima apa-apa imbuhan daripada apa yang dimaksudkan dalam pendakwaan tersebut.

“Saya akan hantar surat tuntutan kepada kerajaan Malaysia dan SPRM. Saya lakukan ini bukan kerana saya, tapi untuk menentukan tidak ada lagi kezaliman yang berlaku dalam negara ini.”

Hamzah akan mengadakan sidang media petang ini berhubung perkara berkenaan.

Kelmarin, Hamzah dilapor mempertimbangkan tindakan undang-undang terhadap kerajaan kerana mengaitkannya dengan kes rasuah RM15 juta membabitkan seorang ahli perniagaan.

Ahli perniagaan itu, Sim Choo Thiam pada Mei lalu didakwa meminta RM15 juta daripada seorang lagi ahli perniagaan, Hep Kim Hong sekitar Jun 2021.

Pihak pendakwaan berkata, jumlah itu sebagai dorongan untuk Hamzah membantu syarikat Hep, Asia Coding Sdn Bhd mendapatkan projek daripada kementeriannya.

Sim turut berdepan tiga dakwaan menerima RM15 juta untuk mendapatkan projek daripada Kementerian Dalam Negeri. Dia mengaku tidak bersalah terhadap empat pertuduhan itu.

Hamzah kemudian dilaporkan berkata, ada “orang dan ahli perniagaan tertentu” ditekan untuk “menuding jari” terhadapnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.