
Setiausaha Agung DAP, Loke Siew Fook berkata, siasatan mendapati program itu dianjurkan Jun lalu, bukannya ketika tempoh berkempen PRN sekarang.
“Saya mengarahkan status keahlian individu itu digantung serta-merta. Jawatankuasa Disiplin DAP akan mengambil tindakan susulan.
“Individu berkenaan adalah ahli biasa DAP dan sama sekali tidak mewakili kepimpinan parti,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Beliau berkata, pucuk pimpinan DAP mengutuk ucapan itu yang disifatkannya provokatif dan berunsurkan kata-kata kesat.
Beliau juga mendakwa video itu sengaja ditularkan “pihak tertentu” untuk memecah momentum kempen Pakatan Harapan dan Barisan Nasional untuk PRN esok.
Dalam video itu, seorang lelaki berpakaian jaket DAP dilihat menyampaikan ucapan dalam bahasa Kantonis yang disertakan sarikata mencerca “Parti Serban”.
Katanya, parti itu terkenal kerana memainkan isu agama dan perkauman, selain sering berkata ia akan “menang besar” dalam PRN enam negeri.
“Mereka fikir kami mudah dibuli, tetapi kami tidak takut dengan mereka kerana kami mempunyai sokongan anda.
“Malah, Umno telah tampil meminta permohonan maaf daripada kami. Apa yang lebih kelakar ialah MCA (telah meminta permohonan maaf daripada kami) juga.”