Cadangan tindakan tegas bagi penunggang agama dikemuka kepada Agong

Cadangan tindakan tegas bagi penunggang agama dikemuka kepada Agong

Perdana menteri turut mengemukakan cadangan sama kepada Sultan Selangor selepas dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

Anwar Ibrahim berkata, cadangan itu bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia, bukan saja orang Melayu.
KUALA LUMPUR:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim mengemukakan cadangan kepada Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah supaya tindakan tegas diambil terhadap mana-mana pihak mempermainkan serta menunggang agama Islam.

Beliau berkata, cadangan itu turut dikemukakan kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah selepas dibincangkan bersama Timbalan Perdana Menteri, Zahid Hamidi dan Fadillah Yusof.

“Tunggu 12 Ogos, selepas itu apa pun keputusan (selepas hari pengundian PRN enam negeri)…Ini bukan soal politik, saya tidak peduli dia sokong siapa, itu hak dia.

“…tetapi kalau kamu tunggang agama, permainkan hukum Allah, menghukum orang, memfitnah orang, fitnah yang besar, nak kafirkan orang yang tak sokong dia adalah musuh Allah…saya nak beritahu malam ini…we will not tolerate with this nonsense (kita tidak akan bertolak ansur dengan karut ini),” katanya.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu berkata demikian ketika berucap pada Grand Finale Kita Selangor, di sini, malam tadi yang turut dihadiri Zahid selaku pengerusi Barisan Nasional (BN) dan Fadillah merangkap ketua whip Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Anwar berkata, cadangan itu bagi mempertahankan kepentingan semua rakyat Malaysia, bukan saja orang Melayu.

“Ya, kita tingkatkan fahaman Islam, penghayatan Islam. Kita tingkatkan penguasaan Bahasa Melayu dan mantapkan martabat Bahasa Melayu (sebagai) bahasa pengantara dan bahasa ilmu. Kita jamin keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera dan kita muliakan kedaulatan Raja-raja Melayu.

“Tetapi, dengar sini baik-baik, jangan kita hina mana-mana anak Malaysia daripada mana-mana kaum…Setiap rakyat, baik Dayak di Kapit, Cina, India beragama Hindu, semua itu warga kita dan mesti kita pertahankan.”

Ini kerana katanya, rakyat daripada semua kaum di Malaysia berhak disantuni dan mendapat pembelaan.

“Ini bukan mainan campur tolak. Saya sokong orang Melayu dan ini bukan bermakna saya akan singkir orang Cina…Saya tegaskan sekarang, negara ini mesti selamat. Negara ini mesti menyantuni semua rakyat.”

Sementara itu, Zahid berkata, peluang diberikan PH kepada BN untuk bertanding 108 daripada 245 kerusi DUN di enam negeri membuktikan keikhlasan PH bekerjasama dengan BN.

Justeru katanya, jentera BN bertanggungjawab membantu calon gabungan itu serta PH bagi membalas keikhlasan PH dan berusaha meraih kemenangan pada PRN di Selangor, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Kedah.

Beliau turut mengulangi keyakinannya bahawa Selangor akan ditadbir kerajaan perpaduan, malah mahu Amirudin Shari terus menjadi menteri besar.

“Walaupun kita diserang dan diterjah dengan pelbagai fitnah, tetapi saya yakin apabila merah (PH) dan biru (BN) bercantum dengan penuh keserasian, insya Allah (dapat raih kemenangan).”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.