Siasat punca sebenar calon SPM 2022 tidak hadir, kerajaan diberitahu

Siasat punca sebenar calon SPM 2022 tidak hadir, kerajaan diberitahu

Kumpulan pendidikan berkata, data Kementerian Pendidikan tidak mengambil kira faktor seperti penyakit, keciciran atau kekurangan dana.

Kira-kira 10,000 pelajar, daripada 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022, telah mendaftar untuk mengambil peperiksaan tahun ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesatuan yang mewakili guru mempersoalkan data Kementerian Pendidikan berhubung bilangan calon tidak hadir dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022.

Setiausaha Agung Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP), Fouzi Singon, berkata angka itu “disensasi” dengan isu paling penting telah terlepas pandang iaitu punca calon gagal menduduki peperiksaan.

“Data kementerian tidak mengambil kira punca sebenar ketidakhadiran seperti sakit, keciciran sekolah, calon persendirian, atau faktor kewangan yang menjejaskan pelajar daripada keluarga miskin,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek minggu lepas bahawa 10,000 pelajar, daripada 30,000 calon yang tidak menduduki peperiksaan SPM 2022, telah mendaftar untuk mengambil peperiksaan itu tahun ini.

Menurut Fouzi, kes ponteng peperiksaan hanya membabitkan purata kira-kira lima pelajar setiap sekolah, sambil menambah bahawa ini tidak sepatutnya mencetuskan kebimbangan kerana ia dianggap perkara biasa.

“Apa yang lebih membimbangkan ialah kes mereka yang tercicir kerana gagal menguasai kemahiran asas (membaca, menulis dan matematik) di sekolah rendah dan pelajar yang tidak mahu melanjutkan pelajaran ke peringkat pengajian tinggi,” katanya.

Fouzi berkata tumpuan harus diberikan untuk membantu pelajar menguasai kemahiran asas dan meyakinkan mereka yang memilih untuk tidak meneruskan pengajian tinggi agar mengubah fikiran.

Dalam pada itu, Teo Ming Yen dari NGO Teach for Malaysia memuji usaha Fadhlina untuk menangani ketidakhadiran peperiksaan, tetapi berkata kerajaan perlu menyiasat punca sebenar masalah itu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada menteri kerana mengesan dan memastikan pelajar ini untuk menghadiri peperiksaan,” katanya. “Bagaimanapun, kerajaan perlu memberi tumpuan untuk benar-benar memahami masalah teras.”

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Bertindak Ibu Bapa bagi Pendidikan (PAGE) Noor Azimah Abdul Rahim mendakwa masalah pembelajaran seperti disleksia antara punca pelajar tidak berminat dan akhirnya berhenti sekolah.

Noor Azimah menggesa kerajaan untuk memulakan inisiatif intervensi pembelajaran yang lebih cekap bagi memenuhi keperluan pelajar bermasalah pembelajaran.

“Berapa ramai daripada pelajar SPM yang tidak mahu melanjutkan pelajaran yang sebenarnya disleksia tetapi tidak didiagnosis?” soalnya.

“Sudah tiba masanya kita melaburkan beberapa sumber ke dalam program pengurangan ketidakupayaan pembelajaran untuk anak-anak kita, yang mesti merangkumi penilaian komprehensif untuk memastikan ketidakupayaan pembelajaran yang mungkin mereka hadapi.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.