Ramasamy keluar DAP

Ramasamy keluar DAP

Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang itu antara yang digugurkan daripada barisan calon parti itu untuk PRN Pulau Pinang.

P Ramasamy menyerahkan surat peletakan jawatannya pagi tadi.

Nota Pengarang: Perenggan 9 telah dikemas kini untuk memperbetul kenyataan P Ramasamy berhubung beliau tidak dimaklumkan mengenai keputusan DAP untuk tidak mencalonkannya sebelum pertemuan dengan Loke Siew Fook dan Nga Kor Ming. Kesilapan laporan itu adalah dikesali.

PETALING JAYA:
Bekas timbalan ketua menteri Pulau Pinang P Ramasamy hari ini mengumumkan keluar DAP, beberapa minggu selepas tidak tersenarai sebagai calon untuk PRN.

“Saya menyerahkan surat peletakan jawatan saya kepada Setiausaha Agung Loke Siew Fook pagi ini,” katanya pada sidang media di Butterworth.

“Saya membuat keputusan ini selepas banyak berfikir, dan saya juga telah bercakap dengan rakan dan keluarga sebelum membuat keputusan ini.”

Ramasamy, yang pertama kali memenangi kerusi DUN Perai pada 2008, adalah antara tujuh bekas Adun yang tidak dicalonkan semula untuk PRN Sabtu ini.

DAP sebaliknya mencalonkan S Sundarajoo, bekas ketua pegawai operasi Eco World Sdn Bhd, untuk kerusi itu.

Pada masa itu, Loke dilaporkan berkata, Ramasamy dan Adun lain yang tidak dicalonkan semula menghormati keputusan parti.

Walaupun berkata beliau menerima keputusan itu, Ramasamy hari ini meluahkan rasa kecewa kerana Loke sendiri tidak memaklumkannya mengenai perkara itu lebih awal.

“Pada 25 Julai, Loke dan (Naib Presiden DAP) Nga Kor Ming jumpa saya, (beritahu) saya tidak dicalonkan. Saya kata, tiada masalah, saya takkan rayu. Tetapi kenapa tidak beritahu saya sebelum itu?

“Loke pelajar saya di Universiti Kebangsaan Malaysia (sebelum ini), tetapi (beliau) tiada budi bahasa untuk beritahu saya (lebih awal) bahawa saya tidak akan dicalonkan,” katanya.

Bulan lepas, Ramasamy mempersoalkan sama ada DAP masih parti sama disertainya pada 2005 disebabkan tiadanya ketelusan dan konsistensi dalam pengumuman calon.

Katanya, beberapa penyandang digugurkan atas alasan mahu meremajakan parti, tetapi “hakikatnya ramai calon muda digantikan dengan calon lebih tua”.

Pada sidang media hari ini, Ramasamy mendakwa, “orang India kecewa dengan DAP” selepas beliau tidak dicalonkan. Tambahnya, ahli lain turut bersedia untuk meninggalkan parti.

Beliau kemudian memetik prestasi cemerlangnya sebagai Adun sejak 15 tahun lepas, dan menegaskan beliau tidak sepatutnya tidak dicalonkan memandangkan beliau mempunyai rekod bersih.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.