
Perintah reman ke atas wanita berusia 27 tahun itu dikeluarkan Majistret Stephanie Sherron Abbie di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu, pagi tadi, lapor Berita Harian.
Ketua Polis Kota Kinabalu Mohd Zaidi Abdullah ketika dihubungi berkata suspek ditahan awal pagi tadi bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.
“Setakat ini, polis menerima tiga laporan polis daripada ibu mangsa, pengusaha taska dan pengasuh taska (suspek) yang mendakwa dikasari bapa kanak-kanak terbabit,” katanya.
Semalam, tular video berdurasi dua minit 12 saat memaparkan seorang kanak-kanak lelaki berusia empat tahun ditendang, ditampar dan rambut ditarik oleh pengasuh di sebuah taska di Luyang.
Rakaman CCTV menunjukkan kanak-kanak lelaki itu ditampar dan dipukul menggunakan pembaris di muka dan kepala berkali-kali ketika hendak makan.