Lebih 300 pengundi berusia 100 tahun ke atas di Pulai, Simpang Jeram

Lebih 300 pengundi berusia 100 tahun ke atas di Pulai, Simpang Jeram

Pengundi tertua di Parlimen Pulai, seramai 3 orang, berusia 115 tahun, manakala di DUN Simpang Jeram, dua orang berusia 109 tahun, menurut SPR.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos ini, diikuti undi awal pada 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.
JOHOR BAHRU:
Sebanyak 294 pemilih di Parlimen Pulai dan 14 pengundi di DUN Simpang Jeram berusia lebih 100 tahun, berdasarkan data Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Menurut daftar pemilih tambahan April 2023, daripada 294 orang di kawasan Parlimen itu, seramai 41 orang berusia 100 tahun manakala yang paling tua, iaitu 115 tahun, seramai tiga orang.

Di Simpang Jeram pula, terdapat dua orang berusia 109 tahun, pengundi tertua di kawasan DUN itu.

Selepas proses pemutihan, data SPR menunjukkan sebanyak 166,653 orang bagi kawasan Parlimen Pulai dan 40,379 orang di DUN Simpang Jeram layak mengundi pada PRK di dua kawasan berkenaan.

Daripada jumlah itu, sebanyak 165,700 di kawasan Pulai merupakan pengundi biasa, 927 pengundi awal dan 26 orang pengundi tidak hadir, sementara bagi kerusi Simpang Jeram, terdapat 40,373 pengundi biasa manakala enam orang pengundi tidak hadir.

Bagi Parlimen Pulai, kumpulan pengundi terbesar adalah bagi kategori 21 hingga 29 tahun, iaitu sebanyak 21.05% atau 35,074 pengundi; diikuti kategori 30 hingga 39 tahun berjumlah 34,235 orang; dan kategori 40 hingga 49 tahun melibatkan 32,271 pengundi, menurut SPR.

Sementara itu, kumpulan pengundi terbesar di DUN Simpang Jeram meliputi lingkungan usia 30 hingga 39 tahun, iaitu 23.10% daripada jumlah pengundi atau 9,326 orang; diikuti 9,160 pengundi daripada usia 21 hingga 29 tahun, manakala kategori 40 hingga 49 tahun mencatatkan 7,113 orang.

Berdasarkan statistik sama, pengundi lelaki di Parlimen Pulai merekodkan 83,724 orang, lebih ramai berbanding wanita sebanyak 82,929 pengundi, manakala keadaan sebaliknya berlaku di kerusi Simpang Jeram, iaitu wanita melebihi lelaki dengan 20,626 pengundi berbanding 19,753 pengundi lelaki.

SPR menetapkan hari penamaan calon bagi PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada 26 Ogos ini, diikuti undi awal pada 5 Sept dan hari pengundian 9 Sept.

PRK di kedua-dua kerusi berkenaan diadakan susulan kematian penyandangnya, Salahuddin Ayub yang juga menteri perdagangan dalam negeri dan kos sara hidup pada 23 Julai lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.