Kalau bagus kenapa tak buat di negeri PN? Pengundi pilih tawaran PH-BN Selangor

Kalau bagus kenapa tak buat di negeri PN? Pengundi pilih tawaran PH-BN Selangor

Orang muda tertarik dengan tawaran menyediakan 100,000 pekerjaan bergaji tinggi selain latihan dengan syarikat gergasi.

Pakatan Harapan dan Barisan Nasional mempertaruhkan 5 Tekad Untuk 5 Tahun Kegemilangan Selangor pada PRN kali ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kesinambungan meneruskan kemajuan, tawaran 100,000 pekerjaan bergaji tinggi dan menambah program kebajikan, menjadi tarikan buat pengundi yang mahu mengekalkan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di Selangor.

Beberapa pengundi ditemui FMT menyambut baik inisiatif gabungan parti kerajaan perpaduan menerusi tawarannya sempena PRN Sabtu ini yang bertemakan 5 Tekad Untuk 5 Tahun Kegemilangan Selangor.

Pengundi DUN Sijangkang Ainool Husaini Md Yatim, 24, berkata sebagai anak muda beliau tertarik melihat inisiatif untuk menyediakan 100,000 pekerjaan bergaji tinggi dalam tempoh lima tahun.

“Ia turut disertakan latihan Teknikal Dan Latihan Vokasional (TVET) dengan syarikat gergasi seperti Apple dan Siemens, maksudnya bila pelabur masuk sudah tersedia pekerja berkemahiran tinggi di Selangor.

“Bagi anak muda jaminan kerja itu penting dan kita dapat lihat dengan jelas usaha PH dan BN,” katanya kepada FMT.

Bagi pekerja swasta Kamarul Azhar Bahruddin, 49, beliau cenderung dengan tawaran PH-BN kerana ia lebih realistik dan terbukti mampu dilaksanakan, berbanding janji Perikatan Nasional (PN) yang hanya menambah nilai dasar sedia ada.

“Tawaran PN ini banyak yang dah sedia ada, macam bantuan RM300 sebulan tetapi mereka tambah nilai kepada RM400…begitu juga dengan elaun pengurusan masjid,” katanya.

Saifol Rizal, 45, pula mempersoalkan tindakan PN yang menabur janji bernilai RM2 bilion untuk anak Selangor, tetapi masih gagal melaksanakan sebarang insiatif setanding Darul Ehsan di negeri yang sudah dimenanginya pada PRU15.

“Kami tak perlu nak ubah kerajaan sebab kerajaan sekarang dah terbaik, lebih baik gunakan peruntukan tersebut untuk Perlis yang memang dah sah milik PN.”

Pada 31 Jul, gabungan PH-BN mengumumkan 53 program menerusi tawaran lima tahun kepada pengundi Selangor, diikuti PN empat hari kemudiannya yang mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Selangor bernilai lebih RM2 bilion.

Dalam pada itu, Syaiful Fajri, pengundi DUN Rawang mempersoalkan kemampuan PN melaksanakan tawaran berkenaan, sambil menambah pentadbiran Muhyiddin Yassin di Putrajaya selama 18 bulan tidak menampakkan pencapaian membanggakan.

“Apa model pembuktian tawaran ini semua? Duduk di Putrajaya, tak nampak PN jana pendapatan negara, habiskan duit rizab kerajaan sahaja.”

Bagi pengundi DUN Sungai Tua, Ibrahim Fekri, 38, penting untuk rakyat Selangor memilih negeri yang sealiran dengan Persekutuan demi kestabilan, selain memastikan segala inisiatif yang dirangka dilaksanakan sebaiknya.

Katanya, tawaran yang dijanjikan PN banyak “menampal semula” program yang telah dilaksanakan kerajaan PH sejak memerintah negeri itu pada 2008.

“Lebih kepada salin semula, cuma hanya ‘polish’ sikit. Apa yang PH buat dah terbukti sejak 2008, setakat hanya berjanji saya lihat ia hanya gula-gula untuk PRN.

“Kenapa perlu tukar kerajaan? Pilihlah kerajaan negeri yang sehaluan dengan kerajaan pusat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.