Badan kajian ramal ‘status quo’ pada PRN 12 Ogos

Badan kajian ramal ‘status quo’ pada PRN 12 Ogos

Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) juga menggaris kepentingan pengundi BN dan peralihan sokongan pengundi dalam menentukan keputusan PRN.

Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) meramal PH-BN kekal berkuasa di Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, manakala PN masih memerintah Kedah, Kelantan, dan Terengganu.
PETALING JAYA:
Satu badan kajian meramal Pakatan Harapan (PH)-Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan kekal berkuasa di negeri yang diperintah sebelum ini menjelang PRN 12 Ogos.

Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR) membentangkan dua senario iaitu corak pengundian kekal seperti berlaku pada PRU15 selain faktor keluar mengundi menurun kepada 67%, termasuk pecahan pengundi BN kepada tiga kumpulan berasingan.

“Diunjurkan satu pertiga pengundi BN akan menyokong gabungan PH-BN, manakala satu pertiga akan mengundi PN dan selebihnya tidak mengundi,” kata badan itu.

Dalam dua senario tersebut, NASR berkata PH-BN akan kekal dominan di Selangor dan Negeri Sembilan. Perkara sama juga berlaku kepada PN (dan PAS) di Kelantan.

Katanya, dominasi PN-PAS di Kelantan kekal menjadi kubu kuat walaupun kombinasi dua gabungan terbesar PH-BN dalam usaha mencabar kedudukan parti itu.

“Keseluruhannya, PH-BN akan menguasai Pulau Pinang, Selangor, dan Negeri Sembilan, manakala PN akan berkuasa di Kedah, Kelantan, dan Terengganu.”

NASR juga berkata, pengundi BN mampu menjadi faktor terpenting menentukan kemenangan gabungan mana menang di beberapa negeri.

“Banyak kawasan Dewan Undangan Negeri mempunyai majoriti kurang 2,000 undi. Mengambil kira peralihan pengundi yang berkemungkinan mengubah pilihan mereka, jumlah itu relatifnya kecil dan kemungkinan beralih kekal tinggi,” katanya.

“Melipatgandakan berkempen di kawasan tersebut perlu menjadi tumpuan semua gabungan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.