Polis kesan kegiatan pertaruhan keputusan PRN di P Pinang

Polis kesan kegiatan pertaruhan keputusan PRN di P Pinang

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata, setakat ini tiada sebarang penahanan dibuat, namun pihaknya sedang memantau rapi.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin pada sidang media hari ini
GEORGE TOWN:
Polis mengesan berlaku kegiatan pertaruhan keputusan beberapa kawasan DUN pada PRN Pulau Pinang 12 Ogos ini.

Ketua Polis Pulau Pinang Khaw Kok Chin berkata, setakat ini tiada sebarang penahanan, namun pihaknya sedang memantau rapi kegiatan tersebut.

“Berdasarkan apa yang kita (polis) pantau, ada kegiatan pertaruhan itu yang dipercayai dilakukan dalam skala kecil.

“Berdasarkan siasatan, ia tidak melibatkan mana-mana sindiket (perjudian), hanya kecil-kecilan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau proses pengundian awal PRN membabitkan polis kontinjen Pulau Pinang.

Seramai 6,451 pegawai dan anggota terlibat dengan pengundian awal di 28 pusat mengundi melalui 33 saluran di IPK Pulau Pinang serta lima IPD hari ini.

Sementara itu, Khaw berkata, jumlah kawasan panas yang dikesan di Pulau Pinang kekal dua, iaitu DUN Permatang Pasir bawah Parlimen Permatang Pauh, dan DUN Bayan Lepas bawah Parlimen Balik Pulau.

”Polis akan kekalkan kawalan di dua kawasan tersebut dan kita lihat tidak ada keperluan setakat ini untuk menambah anggota atau pegawai di sana kerana semua dalam keadaan baik, lancar serta tidak ada kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Insiden kecil tu ada, tetapi tidak sampai menggugat ketenteraman dan kegusaran awam. Semuanya dalam kawalan,” katanya.

Beliau berkata, setakat hari ini, proses berkempen di seluruh negeri berjalan lancar.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.