
Pertemuan dengan 24 syarikat itu diatur, kira-kira dua minggu selepas beliau memberi jaminan akan membincangkan isu kadar upah pengambilan dan penghantaran yang dikatakan semakin rendah sehingga membebankan pekerja ekonomi gig berkenaan.
“Saya telah menyampaikan keluhan penghantar terkait dengan isu kadar upah penghantaran,” katanya sambil menambah lima wakil penghantar turut memberikan pandangan pada pertemuan membabitkan Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook, Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil dan Menteri Sumber Manusia V Sivakumar.
“Perbincangan antaranya berkisar tentang pendapatan penghantar, jaringan keselamatan sosial serta keperluan latihan peningkatan kemahiran (upskilling),” katanya dalam kenyataan.
Anwar berkata, selepas mendengar pandangan kedua-dua belah pihak, kerajaan bersetuju meningkatkan peruntukan bagi inisiatif dan latihan peningkatan kemahiran
“Kesemua syarikat pengendali telah memberikan komitmen untuk lebih telus dalam penentuan dan pengiraan upah serta meneliti dan memperhalusi lebih lanjut akan pandangan daripada pihak penghantar berhubung penentuan dan pengiraan kadar upah.
“Penelitian lanjut ini penting dalam menambah baik kadar upah penghantar, kepentingan pengguna khususnya di kawasan luar bandar harus kekal diutamakan agar tidak terbeban di samping turut mengambil kira keupayaan syarikat,” katanya.