
Katanya, beliau difahamkan wanita itu sudah nyanyuk dan keluarganya turut meminta video tular terbabit dipadamkan.
Beliau berkata, jika dakwaan itu dibuat pemimpin PAS berjawatan, ia akan menjadi isu besar, tetapi disebabkan ia dikeluarkan warga emas, maka ia bukannya isu.
“Tidak sepatutnya kita ambil kesempatan. Orang PAS ni ada satu juta lebih…takkan kita nak ambil satu kenyataan dan orang ini (warga emas) tiada apa-apa jawatan.
“Macam mana kalau saya kata orang Umno merompak, orang Umno tak betullah…jangan terlalu kita ni murah menggunakan isu murahan untuk berpolitik,” katanya menurut Sinar Harian.
Amar berkata demikian menjelaskan isu seorang warga emas yang merupakan penyokong parti Pas dipercayai mengkafirkan parti lain dalam sebuah video tular baru-baru ini.
Terdahulu, tular satu video di media sosial menunjukkan kehadiran seorang wanita menemui pengundi ketika berkempen bagi calon Barisan Nasional tidak disambut baik penduduk setempat.
Dalam video itu, seorang wanita warga emas memberitahu dia tidak mahu mengundi Umno kerana “akan kafir sampai kiamat”.
Susulan itu, Mursyidul Am PAS, Hashim Jasin semalam memberitahu FMT, PAS tidak menganggap Umno musuh, apatah lagi mengkafirkan mereka.
Beliau menyifatkan dakwaan kafir itu pandangan “tepi jalan” yang tidak boleh diambil kira kerana bukan dibuat kepimpinan tertinggi PAS, selain video itu dipergunakan pihak tertentu untuk meraih undi ketika PRN.
Tegasnya, pendirian PAS berhubung isu “kafir-mengkafir” telah lama selesai dan tidak perlu dibangkitkan lagi.