Peja nafi ‘jual kerusi’

Peja nafi ‘jual kerusi’

Timbalan presiden Bersatu itu berkata, jika boleh 'menjual kerusi', mereka tidak akan menghadapi masalah kewangan seperti sekarang.

Ahmad Faizal Azumu berkata, beliau memaafkan pihak yang memfitnahnya supaya mereka tidak perlu mencarinya di Padang Mahsyar nanti.
SEREMBAN:
Timbalan Presiden Bersatu, Ahmad Faizal Azumu menafikan dakwaan beliau “menjual kerusi” dalam pemilihan calon Perikatan Nasional (PN).

Pengerusi PN Negeri Sembilan itu yang lebih dikenali sebagai Peja berkata, jika boleh “menjual kerusi”, mereka tidak akan menghadapi masalah kewangan seperti sekarang.

“Kami berkempen dengan begitu ala kadar…kami tak ‘jual kerusi’, malah bebanan kepada pimpinan dalam menghadapi pilihan raya ini amat getir dan besar.

“Tak apalah, kepada mereka yang telah membuat dakwaan fitnah saya menjual kerusi itu, saya ampunkan supaya mereka tak payah cari saya di Padang Mahsyar nanti,” katanya selepas majlis Munajat Akbar dan Jelajah PN Best di Sendayan malam tadi.

Calon bebas DUN Sikamat, Mohammed Hafiz Baharudin dilaporkan mendakwa wujud elemen “jual kerusi” dalam pemilihan calon PN Negeri Sembilan.

Dalam pada itu, beliau yakin PN mampu memberi saingan hebat dalam PRN walaupun pimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) sering melaungkan kemenangan 36-0 di Negeri Sembilan.

“Kami yakin akan memberi saingan amat hebat. Kalau mereka (BN dan PH) yakin dengan 36-0, mana mungkin pemimpin utama negara terpaksa datang ke sini saban malam sejak penamaan calon? Saya ingat empat malam berturut-turut.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.