PKR demokratik, terbuka; Faiz tunggu pelawaan

PKR demokratik, terbuka; Faiz tunggu pelawaan

Faiz Na'aman melihat PKR sebagai parti berdemokratik yang bersifat terbuka menerima kritikan dan pandangan ahli.

Faiz Na’aman berkata kepimpinan pusat termasuk Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menerima dengan hati terbuka keputusannya keluar parti. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Faiz Na’aman yang meletak jawatan ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu dan keluar parti itu menyatakan kesediaan menyertai PKR.

Beliau melihat PKR sebagai parti berdemokratik yang bersifat terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan ahli selain menghargai bakat kepimpinan baharu.

“Kalau ada pelawaan dan penerimaan saya memang terbuka. Saya dah lama tengok PKR sentiasa mengetengahkan watak baharu dan menghargai bakat.

“Budaya PKR ini saya tengok mengkritik kepimpinan agak terbuka…sebelum ini Rafizi Ramli pernah kritik Anwar Ibrahim, tetapi itu tidak menyebabkan beliau tidak menghargai Rafizi, bila Anwar naik sebagai perdana menteri, Rafizi diangkat masuk dalam Kabinet,” katanya kepada FMT.

Faiz membuat keputusan keluar Bersatu hari ini, kurang seminggu selepas mengkritik pemilihan calon untuk PRN Selangor.

Katanya, Bersatu terpesong daripada objektif untuk memberi lebih banyak ruang kepada orang muda mempunyai latar belakang bersih, kelayakan akademik dan setia kepada parti.

Sementara itu, Faiz berkata dengan pengetahuan dan pengalaman beliau mampu menjadi aset terbaik kepada PKR memandangkan perjuangan dalam isu kestabilan politik, ekonomi dan marhaen masih menebal dalam dirinya.

“Saya masih lagi dalam kalangan orang muda yang bukan sahaja ada juga pengetahuan tentang latar belakang sejarah negara tetapi perkembangan terkini isu politik, ekonomi dan ideologi.

“Saya cuba bersifat holistik supaya orang tidak melihat saya hanya sekadar ahli politik yang tipikal,” katanya.

Ketika ditanya reaksi Bersatu terhadap keputusannya, Faiz berkata kepimpinan pusat termasuk Presiden Muhyiddin Yassin menerima dengan hati terbuka.

Katanya, meskipun ada antara mereka cuba memujuknya kembali ke dalam parti, beliau tegas dengan keputusan itu.

“Dalam kepimpinan Bersatu ada yang pujuk, ada mengucapkan yang baik-baik kepada saya, tidak adalah saya dikecam. Mereka menerima dengan hati terbuka.

“Muhyiddin minta saya bersabar dan beristighfar tetapi saya rasa dia pun tahulah bila saya dah buat keputusan ini, saya ini jenis bila sudah buat keputusan saya memang tegas,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.