Juwairiya diberi akses terus ke PMO jika menang, kata Anwar

Juwairiya diberi akses terus ke PMO jika menang, kata Anwar

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata beliau memindahkan timbalan ketua Wanita PKR ke Hulu Kelang kerana kerusi itu mesti dimenangi Pakatan Harapan.

Juwairiya Zulkifli dari Pakatan Harapan akan merebut kerusi DUN Hulu Kelang dalam pertembungan satu lawan satu dengan Azmin Ali dari Perikatan Nasional pada PRN 12 Ogos ini.
GOMBAK:
Juwairiya Zulkifli daripada Pakatan Harapan (PH) akan diberikan akses terus untuk berurusan dengan Pejabat Perdana Menteri (PMO) jika beliau memenangi kerusi Hulu Kelang pada PRN Sabtu ini, kata Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

“Saya tidak mahu janji lebih-lebih ketika musim pilihan raya, jika Juwariya diberikan mandat saya akan berikan beliau terus ke pejabat Perdana Menteri kerana saya kenang jasa,” kata pengerusi PH itu dalam ceramah di Hulu Kelang malam tadi.

Anwar, yang juga presiden PKR, berkata ini kerana beliau menghargai jasa Juwairiya, terutama selepas timbalan ketua Wanita PKR itu sepatutnya bertanding di kerusi lain.

Juwairiya, yang juga setiausaha politik Menteri Besar Amirudin Shari, menyandang kerusi Bukit Melawati sebelum DUN dibubarkan.

“Ya, dia sepatutnya bertanding di tempat lain, tetapi saya memikirkannya dan merasakan kerusi ini mesti dimenangi,” katanya.

Dalam pada itu, Anwar turut mengingatkan pengundi tidak mengambil mudah PRN.

“Mereka (Perikatan Nasional) mempunyai dana yang banyak. Lihat bagaimana mereka membayar ‘influencer’ (di media sosial).

“Jadi kita kena pastikan, terutama yang muda, kita buat keputusan yang betul. Gunakan hak anda sebagai pengundi untuk menyelamatkan Selangor dan Malaysia,” katanya.

Hulu Kelang akan menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara Juwairiya dan bekas timbalan presiden PKR Azmin Ali, yang kini pengerusi PN Selangor.

Pencalonan Azmin di Hulu Kelang susulan spekulasi berbulan-bulan bekas menteri besar Selangor itu tidak akan mempertahankan kerusinya di Bukit Antarabangsa, yang dimenanginya sejak 2008.

Beliau pernah menjadi Adun Hulu Kelang sepenggal dari 1999 hingga 2004.

Hulu Kelang terletak di bawah Parlimen Gombak, di mana Azmin tewas kepada Amirudin, yang juga ketua PKR Selangor, dengan majoriti 12,729 undi pada PRU15.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.