
JELI: Pengerusi Barisan Nasional (BN) Zahid Hamidi sudah menerima beberapa nama calon bakal menjadi menteri besar Kelantan jika Pakatan Harapan-BN memenangi PRN 12 Ogos ini.
Zahid berkata, senarai nama calon itu diserahkan oleh Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakob, baru-baru ini.
“Bagaimanapun kita tidak akan dedahkan berapa jumlah itu dan siapa calon itu sekarang, cuma kami sudah ada beberapa nama calon untuk menjadi menteri besar Kelantan.
“Hal ini kerana kita tidak mahu mendahului titah dan perkenan Sultan Kelantan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Desa Cerdas Kemas di Plaza IMT-GT Bukit Bunga.
Sebelum ini, media melaporkan PAS Kelantan menjelaskan tidak perlu memberi bayangan siapa akan dipilih menjadi menteri besar negeri itu, selagi PRN belum selesai.