Anwar hadir ‘Grand Finale’ di Kedah Jumaat ini

Anwar hadir ‘Grand Finale’ di Kedah Jumaat ini

Perdana menteri akan mengakhiri kempen PRN dengan program itu sebagai usaha akhir menambat hati pengundi Kedah menukar kerajaan negeri.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata gabungan itu bersama BN bermula sebagai ‘underdog’ di Kedah, namun optimis peluang merampas negeri itu.
PETALING JAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim akan menghadiri program “Grand Finale” di Kedah Jumaat ini sebagai ikhtiar terakhir Pakatan Harapan-Barisan Nasional menawan pengundi negeri itu sehari sebelum pengundian 12 Ogos.

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata persetujuan itu dinyatakan sendiri perdana menteri melalui panggilan telefon dibuatnya, semalam.

“Semalam saya sempat hubungi perdana menteri meminta supaya dimasukkan jadual ‘Grand Finale’ itu di Kedah. Perdana menteri bersetuju untuk melaksanakannya pada tarikh berkenaan dan programnya akan dimulakan dengan solat Jumaat di sini.

“Jadualnya akan kami susun seharian di Kedah. Setakat ini sahih perdana menteri secara fizikal akan berada di Kedah untuk berkempen atas tema ‘Grand Finale’. Kami akan buat di dua bahagian iaitu di Alor Setar dan Sungai Petani,” katanya menurut Utusan Malaysia di Pasar Besar Alor Setar.

Sementara itu, Saifuddin berkata laporan daripada bilik gerakan utama peringkat negeri ketika ini menampakkan petanda positif buat PH dan BN.

Katanya, dua kerusi DUN di Langkawi iaitu Ayer Hangat dan Kuah yang sebelum ini tiada dalam radar kemenangan, kini menunjukkan indikator melegakan kepada gabungan tersebut.

“Realitinya kami menerima hakikat bahawa PH dan BN merupakan ‘underdog’ di Kedah pada peringkat awal, namun kini kami mula mengejar dan makin optimis mengenai peluang di Kedah. Kami telah kemukakan bukti serta alasan betapa tidak kompetennya menteri besar di negeri ini, khususnya berkaitan unsur nadir bumi (REE).

“Menerusi pemantauan dilakukan, kami dapati beliau yang sebelum ini pantas menjawab serta lincah memberi penjelasan, sangat ‘low profile’ pada 48 jam terakhir sehingga tak muncul dalam program yang sepatutnya melibatkan beliau,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.