
Menteri pelaburan, perdagangan dan industri berkata demikian dalam hantaran video di TikTok selepas ada pihak cuba mengambil nama atas pelaburan dibuat syarikat itu.
Katanya, sebelum pelaburan tambahan tersebut masuk, syarikat berkenaan mengadakan rundingan bersama Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (Mida) dan kementeriannya.
“Cuma bila ada pihak nak buat seolah-olah kerajaan pusat sekarang tidak bawa pelaburan tambahan baru saya terpaksa jawablah.
“Semua dah tahu Infineon bakal buat pelaburan tambahan RM25 bilion di Malaysia untuk bina fabrikasi kuasa silikon karbida (SiC) 200mm terbesar di dunia. Pelaburan ini bukan pelaburan diumum tahun lepas. Ini pelaburan tambahan,” katanya.
Beliau berkata, persetujuan Infineon menambah pelaburan kesan keyakinan kepada kestabilan politik negara ini.
“…kerajaan ini kukuh majoriti dua pertiga, Insya-Allah akan bertahan sehinga hujung tempoh.
“Suku pertama tahun ini pelaburan diluluskan RM71.4 bilion, naik 60% berbanding suku pertama tahun lepas,” katanya.
Walaupun Tengku Zafrul tidak menyebut “pihak” dimaksudkan, namun ia merujuk kepada Sanusi Nor yang mendakwa Infineon telah memaklumkan lebih awal untuk membuat pelaburan baharu tahun lalu.
Media melaporkan, dalam ucapan sempena Ta’aruf Perpaduan, di Jitra, semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata persetujuan syarikat itu melabur RM25 bilion hasil rundingan dengan kerajaan perpaduan.
Katanya, keputusan itu dicapai setelah kerajaan Kedah membuat rundingan selama 13 bulan, namun gagal mencapai kata putus.