Muda cadang kuota B40 tanpa kira kaum masuk universiti

Muda cadang kuota B40 tanpa kira kaum masuk universiti

Presiden Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata Malaysia mesti berpindah dari sistem berasas kaum kepada keperluan.

Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata pada asalnya penubuhan sekolah berasrama bagi pelajar keluarga miskin sebagai mengulas cadangan penubuhan sekolah baharu khusus bagi kumpulan itu.
PETALING JAYA:
Muda mencadangkan pelaksanaan sistem kuota bagi keluarga B40 tanpa mengira kaum.

“Tak kira apa kaum ada, keutamaan hanya diberi kepada isi rumah miskin,” kata Presiden Muda Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pada sidang media.

“Realitinya, sistem ini tidak adil kepada keluarga yang bergelut masalah kewangan.

“Ramai berpendapat pendekatan berdasarkan keperluan akan meminggirkan keluarga B40. Realitinya, itu tidak benar,” katanya sambil menambah ia akan membawa manfaat terutama kepada keluarga miskin Melayu.

Ahli Parlimen Muar juga menggesa model pendidikan berasaskan keperluan dilaksana demi memastikan kelancaran perubahan berbanding sistem pendidikan berdasarkan kaum.

Dalam tempoh panjang, Syed Saddiq mencadangkan model pendidikan K-12 – model dalam tempoh 12 tahun di peringkat sekolah rendah dan menengah – dengan satu peperiksaan sahaja.

“Di Malaysia, terdapat banyak cara untuk anda masuk ke universiti, dan kaedah penilaian juga berbeza…dan itulah sebabnya pakar mencadangkan ia diseragamkan,” katanya.

Syed Saddiq berkata, beliau akan membentangkan cadangan itu kepada Jawatankuasa Parlimen berkaitan pendidikan.

Terdahulu, gesaan sama pernah disuarakan bekas menteri belia dan sukan untuk merubah sistem pendidikan berasaskan kaum kepada berasaskan keperluan.

Beliau memberi amaran negara akan berdepan “brain drain” jika isu berbangkit tidak diselesai segera, selain Malaysia akan berdepan kerugian.

Dalam pada itu, Syed Saddiq berkata cadangan menubuhkan sekolah khusus bagi pelajar keluarga miskin sudah ada iaitu sekolah asrama penuh.

“Masalahnya, bila sekolah ini berjaya, pelajar cemerlang mengambil tempat pelajar miskin.

“Jadi sebab itu saya cadang berbanding bina sekolah baharu, semak semula sasaran awal sekolah berasrama yang mana untuk membantu pelajar dari keluar miskin dan sederhana,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.