Kerajaan PH di Selangor sudah ‘diuji’, kata Gobind

Kerajaan PH di Selangor sudah ‘diuji’, kata Gobind

Timbalan pengerusi Pakatan Harapan itu berkata, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari mengekalkan fokusnya pada pemulihan ekonomi negeri selepas pandemik.

Gobind Singh Deo berkata, rakyat Selangor boleh mempercayai kerajaan melakukan perkara betul untuk mereka, seperti membeli vaksin Covid-19 sendiri.
PETALING JAYA:
Ketua DAP Selangor, Gobind Singh Deo menegaskan Pakatan Harapan (PH) membuktikan ia kerajaan negeri boleh dipercayai selepas berjaya mengharungi pandemik Covid-19.

Timbalan pengerusi PH itu berkata, Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari memfokuskan pemulihan ekonomi negeri dan membantu rakyatnya walaupun kerajaan persekutuan bertukar beberapa kali sejak lima tahun lalu.

“Semasa pandemik Covid-19, Selangor antara negeri yang membeli vaksin sendiri. Kenapa? Kerana kita tahu wabak itu boleh diselesaikan dengan vaksinasi,” kata Ahli Parlimen Damansara itu dalam ceramah di Sepang malam tadi.

“Orang ramai boleh kembali bekerja semula jika (mereka divaksin) dan ekonomi akan kembali ke landasan semula.

“Ini yang dilakukan kerajaan PH untuk rakyat dan bukannya berpolitik…Inilah kerajaan yang anda boleh percayai (kerana ia) telah diuji.”

Sebelum pandemik Covid-19, kadar pertumbuhan purata tahunan Selangor dari 2016 hingga 2019 ialah 6.4%.

Pada 2020, ekonomi negeri menguncup sebanyak 5.2%, tetapi pulih dengan kukuh sebanyak 5% pada tahun berikutnya.

Negeri itu menyumbang 24.8% daripada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia pada 2021 dan mencapai rekod 25.5% tahun lalu.

Naib Pengerusi DAP, Nga Kor Ming menggesa pengundi luar pulang ke Selangor mengundi pada 12 Ogos ini kerana penting untuk PH mengekalkan Selangor bagi mempertahankan “tadbir urus baik” negeri itu.

“Selangor negeri paling maju dalam negara ini, dengan pelaburan langsung asing (FDI) paling banyak.

“Adakah anda nampak kenapa FDI tidak ke Kelantan dan Terengganu? Ini kerana kerajaan mereka teruk, jadi mereka (pelabur) datang ke Selangor kerana yakin dengan kerajaan PH di sini.”

Ahli Parlimen Teluk Intan itu berkata, Selangor menyediakan banyak manfaat kepada penduduknya, seperti insurans percuma dan pengangkutan awam, selain terus meningkatkan rizabnya.

“Rizab kami tidak pernah berkurangan, walaupun kami memberikan manfaat. Ia disebabkan tadbir urus baik dan tiada rasuah.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.