WHO senarai ubat Hepatitis C dibangunkan di Malaysia sebagai ubat penting

WHO senarai ubat Hepatitis C dibangunkan di Malaysia sebagai ubat penting

Bekas KP kesihatan berkata, ubat itu menyediakan rawatan bagi negara lebih miskin dan boleh membawa kepada pembasmian Hepatitis C menjelang 2030.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, selama lebih 40 tahun, negara-negara bergantung pada EML sebagai panduan muktamad kepada ubat-ubatan berasaskan bukti. (Gambar AP)
PETALING JAYA:
Ubat Hepatitis C yang sebahagiannya dibangunkan di Malaysia dimasukkan ke Senarai Ubat-ubatan Penting (EML) Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pertubuhan itu mengesahkan penggunaan ravidasvir dalam kombinasi bersama sofosbuvir sebagai antivirus bertindak langsung untuk rawatan jangkitan virus Hepatitis C kronik pada orang dewasa.

Hepatitis C disebarkan melalui darah. Jika tidak dirawat, ia boleh menyebabkan menjadi sirosis hati, parut, dan seterusnya kanser.

Bekas ketua pengarah kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Malaysia menerajui usaha menyenaraikan ubat itu.

Dr Noor Hisham Abdullah.

“Penyenaraian ravidasvir dalam EML merupakan satu lagi pencapaian bagi Malaysia dalam usaha membangunkan ubat Hepatitis C yang efektif dari segi kos. Ia menangani (isu) akses penjagaan kesihatan, kemampuan dan kesaksamaan, terutamanya di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

“Penyenaraian ini bermakna lebih banyak negara anggota dan kumpulan masyarakat awam boleh mendapat akses kepada ubat mampu milik ini dan membasmi Hepatitis C menjelang 2030,” kata Noor Hisham, kini ahli lembaga pengarah DNDi, kepada FMT.

Inisiatif Dadah untuk Penyakit Terabai (DNDi) ialah sebuah organisasi penyelidikan dan pembangunan antarabangsa bukan untung.

Pembangunan ravidasvir dimulakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan DNDi, dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Thailand, Médecins Sans Frontières, Presidio Pharmaceuticals, Pharco Pharmaceuticals dan Pharmaniaga Berhad.

Malaysia meluluskan penggunaan ravidasvir hidroklorida pada Jun 2021.

Penyenaraian itu bersejarah bagi Malaysia dan dunia kerana ubat Hepatitis C pertama yang sangat berkesan, sofosbuvir, sebelum ini menelan kos lebih RM300,000 untuk rawatan selama 12 minggu.

Pesakit Malaysia tidak boleh mendapatkan ubat itu kerana ia terlalu mahal untuk diimport oleh kerajaan, jadi KKM terpaksa meneroka pelbagai cara lain untuk membolehkan pesakit mendapat rawatan.

Pada 2016, KKM mula bekerjasama dengan DNDi, yang membawa kepada pembangunan rawatan ravidasvir-sofosbuvir.

Pada masa sama, KKM berjaya mendapatkan akses kepada versi generik sofosbuvir dari Mesir dengan sebahagian kecil kos asal dan menggabungkan penggunaannya dengan daclatasvir. Rawatan itu disediakan di hospital awam pada Mac 2018, tiga tahun lebih awal daripada rawatan gabungan ubat sofosbuvir-ravidasvir.

Menurut WHO, senarai EML dikemas kini, yang termasuk ravidasvir (dalam kombinasi bersama sofosbuvir), bertujuan untuk memudahkan lebih banyak akses kepada ubat-ubatan inovatif yang menunjukkan manfaat klinikal yang jelas.

Rawatan ini boleh memberi impak besar kepada kesihatan awam secara global tanpa menjejaskan belanjawan negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Menurut Noor Hisham, ini adalah hadiah Malaysia kepada Hari Hepatitis Sedunia 2023.

Ketua Pengarah WHO Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, selama lebih 40 tahun, negara-negara bergantung pada EML sebagai panduan muktamad berasaskan bukti untuk ubat-ubatan paling penting untuk memberikan impak kesihatan terbesar.

“Kenaikan harga dan gangguan rantaian bekalan bermakna semua negara kini menghadapi masalah yang semakin meningkat dalam memastikan akses yang konsisten dan saksama kepada banyak ubat penting yang terjamin kualitinya.

“WHO komited dalam menyokong semua negara untuk mengatasi halangan ini bagi meningkatkan akses dengan kesaksamaan,” katanya minggu lepas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.