Semua calon PKR sudah isytihar harta, kata Rafizi

Semua calon PKR sudah isytihar harta, kata Rafizi

Timbalan presiden PKR berkata BN dan DAP tidak berbuat demikian kerana ia bukan dasar parti mereka.

Rafizi Ramli berkata, selepas seminggu berkempen sekurang-kurangnya lapan kerusi dapat dimenangi PH-BN di Kedah.
SUNGAI PETANI:
Semua calon PKR bertanding PRN enam negeri telah mengisytihar harta dan ia dipaparkan menerusi laman web parti itu, kata Timbalan Presiden Rafizi Ramli.

Beliau bagaimanapun berkata, Barisan Nasional (BN) dan DAP tidak berbuat demikian kerana isytihar harta bukan dasar dua parti berkenaan.

“Walaupun BN-PH dalam kerajaan, kita tanding tiket masing-masing, BN setahu saya tak ada dasar isytihar harta, DAP tak ada dasar itu, yang ada dasar PKR, calon kita memang sudah isytihar harta,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri Jelajah Madani di Sungai Petani.

Dalam pada itu, Rafizi menyatakan keyakinan Pakatan Harapan dan BN kini mampu menang paling kurang lapan kerusi selepas seminggu berkempen.

Beliau berkata, berbaki seminggu lagi kempen pihaknya yakin dapat melepas 15 kerusi bagi membuka peluang kepada pembentukan kerajaan negeri.

“…telah melepasi antara tujuh atau lapan kerusi kami berada separuh untuk lepasi 15 kerusi tapi untuk bentuk kerajaan ialah 19 kerusi. Dalam tempoh minggu pertama kita rasa kita telah lepasi lapan kerusi,” katanya.

Katanya, keyakinan Perikatan Nasional mampu menyapu bersih semua kerusi ditandingi di Kedah tidak realistik.

“…tapi yang diwar-warkan oleh Sanusi Nor mereka akan menang besar 36-0 saya tak nampak benda itu berlaku,”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.