
Syazwani, yang menyertai Bersatu pada Februari berkata, beliau berpuas hati melakar perjalanan politiknya bersama parti pimpinan Muhyiddin Yassin itu untuk masa akan datang.
“Saya sudah tekad untuk bersama Bersatu. Tetapi seandainya (suatu hari nanti) kepimpinan Umno bertukar, saya tak tolak kemungkinan Umno, Bersatu dan PAS bekerjasama,” katanya kepada FMT.
Beliau mendakwa akar umbi Umno kecewa dengan kerjasama antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) selepas PRU15.
Bapanya, yang pernah menjadi Ahli Parlimen Tanjong Karang selama enam penggal, digugurkan oleh Umno pada pilihan raya November lepas. Beliau kemudiannya dipecat oleh Presiden Umno Zahid Hamidi dalam satu langkah yang dilihat sebagai “pembersihan” dalam parti.
Calon Perikatan Nasional (PN) Dr Zulkafperi Hanapi, daripada Bersatu, kemudian memenangi kerusi Tanjong Karang dengan majoriti 2,180 undi pada PRU15. Beliau menewaskan Habibah Yusof (BN) dalam pertembungan lima penjuru, yang menyaksikan PH memberi ruang kepada calon Muda.
Bagaimanapun, menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), undi diperoleh calon Muda dan BN secara kolektif lebih 10,000 daripada yang diperoleh Zulkafperi.
Syazwani berkata, beliau bertanding pada PRN kerana berasa terhutang budi kepada penduduk Tanjong Karang, yang menyokong bapanya sepanjang kerjaya politiknya.
“Saya rasa beban berat di bahu saya apabila membawa namanya. Tanjong Karang sinonim dengan Noh Omar, jadi saya tidak mahu cemarkan nama baiknya di sini,” kata Syazwani, seorang peguam berusia 35 tahun.
Ditanya mengenai peluangnya untuk memenangi kerusi DUN Permatang, Syazwani berkata, beliau optimistik tentang keupayaannya merampas kerusi disandang PH itu, dan menjangkakan mendapat manfaat daripada “undi beralih” (swing vote) besar-besaran daripada ahli Umno yang kecewa.
Permatang adalah antara dua DUN bawah Parlimen Tanjong Karang dan pada PRN 12 Ogos ini, Syazwani bertembung dengan calon PH, Yahya Mat Sahri, di kerusi itu.