Kerusi ceramah kosong, pengundi Selangor penat ‘berpolitik’?

Kerusi ceramah kosong, pengundi Selangor penat ‘berpolitik’?

Kerusi sukar dipenuhi sehingga pimpinan utama tiba dan keadaan itu berbeza dengan kempen PRU15 apabila orang ramai hadir awal.

Sekitar sambutan orang ramai terhadap ceramah pada minggu pertama kempen PRN Selangor.
PETALING JAYA:
Selepas seminggu tirai kempen PRN bermula pada 29 Jul lalu, ceramah di Selangor yang menjadi medan pertembungan utama antara Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN) dilihat hambar.

Kerusi diatur sukar dipenuhi sehinggalah pimpinan utama tiba dan keadaan itu berbeza dengan kempen PRU15 apabila orang ramai hadir awal untuk duduk berhampiran pentas bagi melihat sendiri ahli politik berceramah.

Beberapa orang yang ditemui mengakui mereka sudah penat “berpolitik”, tiada masa mengikuti ceramah PRN dan masih dalam tempoh awal sebelum kempen dipergiatkan sebelum pengundian 12 Ogos ini.

“Hari biasa dah sibuk bekerja, balik dah penat, nak rehat … memang tak akan pergi, buang masa,” kata seorang pengundi dari Gombak Setia yang hanya mahu dikenali sebagai Fatihah.

Adam Azman, 27, pula berpendapat kempen ceramah secara fizikal tidak lagi relevan kerana anak muda lebih gemar mengikuti perkembangan politik setempat menerusi media sosial khususnya platform TikTok.

“Rasanya tak perlu dah nak buat ceramah besar-besar, mereka (parti politik) nak orang datang tetapi tak dapat sambutan.

“Kempen online (dalam talian) lagi sampai kepada kami yang tiada masa nak turun dengar ceramah,” katanya yang mengundi di DUN Lembah Jaya.

Sementara itu, pengundi DUN Jeram, Amirudin Amin, 32, berkata janji yang ditaburkan ketika tempoh berkempen bukan lagi menjadi kayu pengukur untuk pengundi memilih wakil rakyat mereka.

“Anak muda nak mereka berkhidmat, bukan hanya tabur janji,” katanya. “Cukup-cukuplah hanya berjanji, bercakap.”

Hilmi Hassan, 45, pula berkata beliau akan turun ke lokasi ceramah hanya untuk mengenali calon di kawasannya.

“Saya hanya datang kejap, sebab nak tahu calon saja,” katanya.

Tempoh berkempen akan tamat pada 11.59 malam 11 Ogos ini, sebelum hari pengundian keesokannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.