BN-PH lancar manifesto PRN Kelantan, janji hapus RM28 juta tunggakan bil air

BN-PH lancar manifesto PRN Kelantan, janji hapus RM28 juta tunggakan bil air

Gabungan perpaduan itu turut berjanji mengurangkan kadar premium tanah sehingga 50% dan memansuhkan bayaran tempat letak kenderaan awam.

Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata, janji manifesto gabungan perpaduan dibuat atas apa yang dianggap terbaik bagi rakyat Kelantan.
PETALING JAYA:
Barisan Nasional-Pakatan Harapan di Kelantan berjanji menghapuskan tunggakan bil air isi rumah dalam manifestonya bagi PRN di negeri pantai timur itu.

Tahun lepas, dilaporkan pengguna di Kelantan berhutang dengan syarikat air negeri, Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB), lebih RM28.5 juta bil air yang tidak dibayar.

Selain menghapuskan tunggakan bil air, gabungan perpaduan itu turut menjanjikan lebih 30 perkara lain, termasuk menurunkan semula kadar premium tanah sehingga 50% dan membina Terminal Pengangkutan Awam Bersepadu (Kelantan Sentral) dengan kadar segera.

Gabungan itu, yang melancarkan manifestonya hari ini, juga berkata ia akan mewujudkan 20,000 peluang pekerjaan dalam tempoh lima tahun, membina 5,000 unit rumah mampu milik, serta memansuhkan bayaran tempat letak kenderaan awam di seluruh negeri.

Antara tawaran lain termasuk bantuan sekali beri RM3,000 kepada pelajar anak Kelantan yang menerima tawaran ke institut pendidikan tinggi, bantuan RM1,000 kepada ibu bersalin anak pertama, dan bantuan perkahwinan RM2,000 kepada pasangan anak Kelantan.

Ketua Umno Kelantan Ahmad Jazlan Yaakub berkata, janji manifesto gabungan perpaduan itu dibuat atas apa yang dianggap terbaik bagi rakyat Kelantan.

“Saya berharap dan merayu kepada pengundi serta rakyat Kelantan supaya memberi mandat kepada kami pada 12 Ogos nanti,” katanya.

“Apa yang kami janjikan ini akan dilaksanakan dengan kadar segera sekiranya diberi mandat,” katanya, lapor Berita Harian.

Rakyat Kelantan, yang ditadbir PAS selama 33 tahun, akan keluar mengundi pada 12 Ogos.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.